LIGA SUPER : ISNIN 06 JULAI 2009 - Perlis pantang menyerah kalah, lawan habis-habisan - Irfan Bakti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

LIGA SUPER : ISNIN 06 JULAI 2009 - Perlis pantang menyerah kalah, lawan habis-habisan - Irfan Bakti

Irfan buntu sindrom tak selesa di tempat sendiri

Oleh Kamudin Baharom
bhsukan@bharian.com.my


PEMAIN Perlis K.Soley (kanan) diasak pemain Johor FC Mohd Mohd Nurul Azwan Roya (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium Utama Kangar, kelmarin.

Pemain Singa Utara seperti lebih semangat bermain di gelanggang lawan

SKUAD Perlis kini berdepan 'dilema' yang meresahkan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim dalam misi memburu kejuaraan Liga Super yang hanya berbaki tiga perlawanan.

Menurutnya, kemenangan 1-0 ke atas Johor FC di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam kelmarin jelas memberi gambaran betapa anak buahnya kian tidak selesa beraksi di gelanggang sendiri sejak kekalahan 2-0 kepada Terengganu di tempat sama, 23 Mei lalu.

"Sejak kekalahan pertama kepada Terengganu itu, saya lihat pemain seperti ada masalah, mungkin gelabah atau bimbang dengan kehadiran ramai penyokong tempatan.

"Sebaliknya, apa yang peliknya situasi seperti itu tidak pula berlaku apabila beraksi di gelanggang luar. Saya lihat mereka mampu bermain dengan baik dan cukup bersemangat dan ini terbukti dengan kemenangan yang dicapai dengan jaringan lebih besar," katanya.

Irfan Bakti berkata, sebagai contoh, situasi sedemikian turut dihadapi pasukan ketika menentang Selangor pada saingan Liga Super, 27 Jun lalu apabila seri 0-0 biarpun menguasai permainan.

Begitupun, tiga hari selepas itu, mereka menjinakkan Negeri Sembilan 4-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Namun, Irfan Bakti mampu bernafas lega kerana daripada tiga perlawanan terakhir mereka, hanya satu akan berlangsung di Kangar, itupun menentang pasukan corot, Polis pada perlawanan terakhir mereka, 25 Julai ini.

Dua lagi perlawanan adalah menentang Perak di Ipoh, esoki diikuti KL Plus di Stadium Cheras Kuala Lumpur pada 21 Julai.

Bagaimanapun, Irfan Bakti berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk pasukannya terus memastikan kemenangan agar dapat terus menyaingi pendahulu, Selangor yang kini mengutip 54 mata, dua mata mengatasi mereka.

"Bagi saya, kemenangan sama ada dengan jaringan tipis atau jaringan besar tidak lagi penting. Kami hanya mahukan tiga mata kerana sasaran memburu kejuaraan Liga Super musim ini hanya mampu menjadi kenyataan sekiranya pasukan terus berjaya mengutip mata pada baki semua perlawanan," katanya.




Perlis pantang menyerah kalah, lawan habis-habisan - Irfan Bakti

KUALA LUMPUR - Bukan bendera putih yang menjadi pilihan pengendali skuad Perlis, Irfan Bakti Abu Salim, sebaliknya terus berjuang sehingga ke titisan peluh terakhir bagi menyekat impian Selangor menjulang piala Liga Super musim ini.

Walaupun sekadar mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Johor FC kelmarin di Stadium Utama, Kangar ia bukan petanda bahawa nafsu Singa Utara sudah semakin pudar untuk memungut mata penuh dalam tiga perlawanan terakhir.

Perkara ini diakui sendiri oleh Irfan yang yakin anak-anak buahnya masih berpeluang menggondol gelaran liga musim ini seterusnya mengekalkan piala Liga Super kekal di utara Semenanjung selepas Kedah muncul juara musim lalu.

Menurut Irfan, walaupun baki perlawanan liga lebih memihak kepada Selangor tetapi kata-kata azimat bahawa bola itu bulat dan apa sahaja boleh berlaku menjadi pegangan kuat Irfan dan anak-anak buahnya.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam permainan yang di panggil bola sepak dan kami akan terus memberi tekanan kepada mereka (Selangor), walaupun bertemu berdepan dengan sebuah lagi pasukan yang digeruni di utara, Perak Selasa ini (esok)," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, anak-anak buahnya perlu mengekalkan fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya dalam baki tiga perlawanan terakhir terutama sekali menentang Perak di gelanggang lawan.

"Kemenangan tipis di Kangar semalam (kelmarin) bukan menjadi ukuran dan petanda bahawa kami sudah hilang tumpuan, kami tetap mempamerkan permainan cemerlang cuma gagal menembusi kubu lawan.

"Mereka (Johor FC) bermain terlalu bertahan dan berkampung di kubu sendiri, ia menyukarkan kami untuk terus mencari jaringan yang lebih banyak tetapi apa yang penting ialah tiga mata berharga berjaya dipungut," katanya.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Perak esok, Irfan tidak menafikan pasukan bimbingan M. Karathu itu mempunyai kelebihan tersendiri walaupun mereka mempamerkan aksi terumbang-ambing sejak kebelakangan ini.

"Perak terdiri dari kalangan pemain muda dan kami hanya mencatatkan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan pertama, mereka mempunyai pemain yang tahan lasak dan bakal memberi kesukaran buat kami.

"Namun matlamat kami hanya satu, mencatatkan kemenangan untuk terus mengejar kejuaraan liga dan memberi tekanan buat pasukan Selangor," kata Irfan yang pernah berkelana ke Indonesia melatih pasukan Persipura Jayapura.

Tambahnya, pemainnya masih lagi mempunyai kekuatan mental yang tinggi walaupun berdepan dengan masalah dalaman terutama isu pembayaran gaji.

"Mereka tetap bersemangat dan fokus dalam setiap perlawanan yang dilalui, itulah yang menjadi kunci kekuatan pasukan sejak dari awal saingan," katanya.

Selepas menentang Perak di Stadium Perak, Perlis akan berkunjung ke Lembah Klang bertemu dengan pasukan KL Plus yang menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini, manakala PDRM menjadi lawan terakhir mereka musim ini.
0 Komentar untuk "LIGA SUPER : ISNIN 06 JULAI 2009 - Perlis pantang menyerah kalah, lawan habis-habisan - Irfan Bakti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI