KUALA LUMPUR - Situasi yang dihadapi Negeri Sembilan iaitu tidak mampu menurunkan pemain kesebelasan utama berikutan masalah kecederaan pernah dirasai sendiri oleh KL Plus sebelum mencatat kemenangan besar 5-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris keperitan tidak dapat menurunkan barisan terbaik akibat pemain utama cedera begitu azab untuk dilaluinya pada pusingan pertama Liga Super dan menjejaskan kedudukan mereka di dalam liga.
"Kini kami dapat membariskan pemain utama dan hasilnya dapat kita lihat dalam beberapa perlawanan sebelum ini serta cuba untuk memperbaiki kedudukan liga," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, kemenangan besar ke atas Negeri Sembilan itu dicatatkan atas hasil usaha keras pemain yang menyempurnakan setiap peluang yang terhidang dengan baik sekali.
"Kami mencipta peluang dengan baik dan menyudahkannya dengan sempurna, lebih menarik setiap pemain dari posisi yang berbeza kecuali penjaga gol dapat menjaringkan gol.
"Bagaimanapun ini tidak bermakna kami tidak akan dapat tentangan dari pihak lawan dalam tiga baki perlawanan liga, sebaliknya perlawanan selepas ini dijangka akan lebih sengit," katanya.
KL Plus akan bertemu Johor FC di tempat lawan esok, manakala perlawanan yang mendapat tumpuan sudah semestinya menentang Perlis di gelanggang sendiri yang mungkin akan menjadi penentu hala tuju pasukan dari utara itu, manakala perlawanan terakhir menyaksikan mereka bertemu KM Naza.
Kata Mat Zan, dalam tiga perlawanan terakhir ini dia mensasarkan untuk membolot tiga mata penuh baki menjamin kedudukan yang lebih baik di dalam liga.
"Kalau dapat berada di pertengahan liga ia sudah cukup baik buat kami dan kami akan mengharungi baki perlawanan selepas ini sebaik mungkin.
"Tidak kira menentang pasukan mana pun kami akan memberi tentangan sengit termasuk menentang Perlis, Sabtu ini," katanya.
Tambahnya, KL Plus juga harus memikirkan kedudukan mereka sendiri dari memberi simpati kepada pasukan lain.
0 Komentar untuk "LIGA SUPER : ISNIN 06 JULAI 2009 - KL Plus buru kedudukan terbaik dalam liga - Mat Zan"