Cari mekanisme terbaik atasi isu bekalan makanan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Cari mekanisme terbaik atasi isu bekalan makanan



Kenaikan harga komoditi bukan masalah baharu yang terpaksa dihadapi rakyat setiap tahun. Isu kenaikan harga barang keperluan seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran serta makanan amat meresahkan dan membimbangkan rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana.

Kenaikan harga komoditi ini memberi impak besar kepada kos sara hidup rakyat. Dalam pada itu, keluhan pemborong dan peniaga kerana terpaksa bergelut dalam menetapkan harga jualan kepada pengguna juga kedengaran, bukan saja di kedai atau pasar, malah di media sosial.

Dalam hal ini, kerajaan peka dan cakna terhadap keluhan rakyat. Harapan rakyat adalah kepemimpinan negara dapat menangani masalah mereka secara berhemah.

Dengan adanya kepemimpinan negara yang kompeten, berintegriti, berwibawa dan memiliki kebolehan kemahiran tadbir urus terbaik, ia diharap mampu menangani beban ditanggung rakyat ketika ini.

Penularan COVID-19 menyebabkan negara berhadapan dengan keadaan ekonomi tidak menentu, manakala rakyat bergelut untuk menambah pendapatan bagi menyara diri dan keluarga.

Negara juga berdepan risiko mengalami gangguan dalam rantaian bekalan makanan jika langkah segera tidak diambil untuk melindungi kesan pandemik ke atas rantaian ini.

Ketika ini, segalanya memerlukan tindakan segera untuk memastikan keperluan asas kehidupan rakyat mencukupi. Pada masa sama, kerajaan Keluarga Malaysia perlu memberi perhatian serius dan menentukan mekanisme terbaik mengatasi permasalahan hidup ini sebelum ia menjadi krisis lebih teruk kepada rakyat serta negara.

Kerajaan perlu bijak mengkaji mekanisme kawalan dan tindakan bagi menangani isu ini dengan strategik serta rasional. Selain mengambil langkah intervensi yang dapat menjadi penyelesaian kepada isu kenaikan harga barang, pihak berkuasa wajib memantau harga makanan dan barang setiap masa.

Bermakna, kerajaan perlu mengukuhkan penyeliaan pasaran, memastikan penghantaran input pertanian termasuk makanan ternakan dengan berkesan, memastikan kelancaran operasi logistik rantaian bekalan pertanian, menjamin aliran perdagangan lancar serta memanfaatkan pasaran antarabangsa sepenuhnya sebagai alat penting mendapatkan bekalan makanan domestik.

Pemantauan menyeluruh dan tindakan penguatkuasaan di lapangan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa serta mengenakan tindakan tegas terhadap mereka didapati sewenang-wenangnya melanggar syarat dan peraturan ditetapkan.

Apa yang penting, kerajaan Keluarga Malaysia seharusnya melaksanakan sesi libat urus secara berkala dengan pemegang taruh dalam mencari solusi tuntas dan efektif dalam permasalahan ini.

Jika segala permasalahan ini dapat ditangani berkesan, kerajaan dijangka mampu mewujudkan kembali pasaran ekonomi negara mampan.

Suasana ini akan menjelma menerusi usaha pembangunan ekonomi menyeluruh menerusi kerajaan berkompeten, berintegriti serta bersungguh-sungguh sebagaimana Khalifah Umar Abdul Aziz, yang sentiasa berusaha membantu rakyat sehingga tiada peminta sedekah dan penerima zakat lagi pada zaman pemerintahannya.

Penulis adalah Pegawai Komunikasi Strategik dan Multimedia, Pertubuhan IKRAM Malaysia merangkap Felo Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR)

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/06/963574/cari-mekanisme-terbaik-atasi-isu-bekalan-makanan

0 Komentar untuk "Cari mekanisme terbaik atasi isu bekalan makanan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI