Pakatan Harapan yakin menang di Kuala Kedah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pakatan Harapan yakin menang di Kuala Kedah



KUALA KEDAH – Parti Kedah yakin Pakatan Harapan boleh menang dan mengekalkan kemenangan 4-0 di Parlimen Kuala Kedah pada PRU14 nanti.

Ketua Pemudanya, Asmirul Anuar Aris berkata, hasrat itu bukan suatu perkara yang mustahil kerana sokongan dan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan semakin bertambah setiap hari.

“Saya percaya Pakatan Harapan boleh menang dan kekalkan kuasa di Parlimen Kuala Kedah, Dun Kubang Rotan, Dun Pengkalan Kundor dan Dun Anak Bukit pada pilihan raya akan datang.

“Kita boleh tewaskan Umno dan BN 4-0 kerana kawasan-kawasan yang dianggap sebagai kubu kuat mereka sejak 60 tahun lalu kini sudah pecah dan terlerai,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas menerima penyerahan borang seramai 75 ahli Umno Cawangan Kampung Tepi Laut termasuk Wanita dan Pemuda yang mengisytiharkan keluar parti dan sertai Amanah, baru-baru ini.

Menurutnya, penyertaan ramai ahli Umno bersama Pakatan Harapan merupakan satu petanda besar bahawa rakyat inginkan perubahan di peringkat parti yang memerintah kerajaan supaya diganti dengan parti  lebih memahami dan menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan dengan adil.

“Walaupun kita tidak ada dana yang banyak, tetapi kita berjaya menambat hati rakyat dengan buat kebajikan dan beri sedikit sumbangan dengan keikhlasan hati kita. Kita tidak mengambil langsung kesempatan kepada rakyat.

“Mereka percaya bahawa kita sentiasa bersama rakyat dan akhirnya kawasan yang merupakan kubu kuat Umno dan BN selama 60 tahun lalu di Kampung Tepi Laut, di sini, pecah apabila kebanyakan ahli keluarga dan rakan mereka bersama Amanah,” katanya.

Ujarnya, ramai lagi ahli dan pemimpin Umno di Kuala Kedah akan membuat keputusan sama dengan mengisytiharkan keluar parti dan sertai mana-mana parti komponen Pakatan Harapan secara berperingkat pada masa akan datang.

Sementara itu, bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Tepi Laut, Azizan Ahmad Nayan berkata, tindakan mereka bersama sekumpulan penduduk kampung menyertai Pakatan Harapan adalah keputusan tepat demi masa depan negara.

“Kita keluar parti sebab perjalanan mereka (Umno dan BN) itu tidak betul. Segala bantuan kepada penduduk kampung kebanyakan disekat dan bermacam masalah lagi, tapi kita malas nak cakap sebab terlalu banyak,” katanya.

Jelasnya, lebih menyedihkan apabila pembangunan yang hendak dibangunkan di kawasan tersebut juga tidak dimaklumkan mahupun diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan penduduk di kawasan berkenaan yang secara tidak langsung turut mengalami kesan daripada projek itu.

“Kami rasa terkilan dengan tindakan mereka. Kalau boleh, saya minta semua Pemuda tak kira daripada Umno cawangan mana sekalipun ikutlah jejak kami sertai mana-mana parti komponen Pakatan Harapan,” katanya.

0 Komentar untuk "Pakatan Harapan yakin menang di Kuala Kedah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI