Masalah 1MDB yang terus belenggui negara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Masalah 1MDB yang terus belenggui negara



Ali telah mengambil keputusan untuk menyelesaikan pertelingkahannya dengan Baba di mana Ali bertegas telah membayar AS$3.5 bilion kepada Baba, tapi Baba bertegas bahawa Ali telah tersilap bayar kepada orang lain.

Ali dan Baba telah mencapai keputusan untuk menunda pertikaian mereka ini ke tahun depan, di mana perundingan akan berlangsung dan wajib diselesaikan pada tahun 2020.

Di dalam tempoh bertenang ini, Ali berjanji akan melangsaikan hutangnya yang satu lagi bernilai AS$1.2 bilion sebelum tahun ini berakhir dan kedua-dua pihak berhenti mencemuh sesama sendiri.
Ali mengumumkan bahawa pertelingkahannya dengan Baba telah selesai.

Kisah pendek ini ibarat hubungan 1MDB dan firma pelaburan syarikat Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) seperti yang dilaporkan Akhbar The Straits Times semalam.
Hakikatnya, pertelingkahan antara 1MDB-IPIC masih jauh daripada penyelesaian.
Pertarungan 1MDB dan IPIC akan berlanjutan sehingga 2020, di mana kemungkinan 1MDB perlu membayar hutang AS$3.5 bilion kepada IPIC selain daripada AS$1.2 bilion yang dijanji untuk dilangsaikan tahun ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang mungkin ditanggung 1MDB mencecah AS$4.7 bilion (RM20.68 bilion).

Hutang AS$1.2 bilion yang perlu dibayar oleh 1MDB kepada 1PIC juga bercanggah dengan kenyataan Presiden 1MDB Arul Kanda pada 31 Mei 2015.

Ketika itu, Arul bertegas bahawa dana AS$1 bilion daripada IPIC kepada 1MDB untuk membayar penuh pinjaman berjumlah AS$975 juta (RM3.6 bilion) kepada satu sindiket bank-bank antarabangsa bukanlah satu jenis pinjaman atau hutang.

"Lanjutan daripada kenyataan Kementerian Kewangan pada 29 Mei, kami mengambil perhatian terhadap dakwaan daripada sesetengah pihak yang mengatakan bayaran US$1 bilion itu merupakan pinjaman, atau melibatkan andaian hutang 1MDB lagi.

"Ini sama sekali tidak berlaku. Ia adalah transaksi perniagaan; bukan satu pinjaman, bukan juga apa-apa jenis hutang dan bukan satu jaminan keluar.

"Ia adalah bayaran awal sebagai sebahagian daripada perjanjian yang lebih luas untuk mengendalikan pelbagai aset kewangan dan transaksi liabiliti antara IPIC, Aabar dan 1MDB secara menyeluruh, maklumat lanjut mengenainya akan diumumkan kelak," kata Arul yang dipetik media.
Sekiranya ia bukan hutang, mengapa 1MDB perlu membayar kembali ‘pelaburan’ tersebut berserta faedah? Apakah ini tergolong dalam berita palsu menurut kriteria Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

Apakah 1MDB mempunyai dana yang cukup untuk membayar hutang IPIC? Jika tidak, di mana kerajaan BN hendak mencari dana untuk membayar hutang kepada IPIC terutamanya jika mereka memenangi PRU14?

Persoalan menariknya ialah apakah yang terjadi kepada penyelesaian 1MDB-IPIC pada 2020 nanti sekiranya Perdana Menteri Malaysia bertukar orangnya memandangkan pilihanraya umum ke 14 perlu dipanggil selewat-lewatnya pada tahun depan?

Sekiranya 1MDB tewas di dalam rundingannya dengan IPIC, apakah Perdana Menteri Malaysia yang baru akan membayar begitu sahaja tanpa mendedahkan apa yang terjadi kepada AS$3.5 bilion yang terbayar kepada Aabar Investments PJS, yang dinafikan IPIC sebagai salah satu anak syarikatnya?
Apapun, isu 1MDB akan terus membelenggu ekonomi negara untuk beberapa tahun akan datang.

Takziah buat negara.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
22 April 2017

0 Komentar untuk "Masalah 1MDB yang terus belenggui negara"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI