Hudud Boleh diLaksanakan di Malaysia - ABIM - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hudud Boleh diLaksanakan di Malaysia - ABIM



Wacana Isu Semasa Hudud: Sesuaikah Dilaksanakan di Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) semalam merumuskan bahawa undang-undang jenayah syariah tersebut sesuai dan wajar dilaksanakan di Malaysia. Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim menekankan usaha ke arah merealisasikan undang-undang hudud boleh dilaksanakan melalui kehendak politik yang kuat dengan mengambil kita penafsiran dan pindaan semula terhadap sistem perundangan yang sedia ada sebelum ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan sejurus wacana tersebut yang membariskan tiga ahli panel terkemuka iaitu Prof Dr Aziz Bari (pakar perlembagaan), Dr. Abdul Halim El-Muhamadiy (Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), serta Musa Awang (Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia). Ketua Biro Syariah dan Kewangan Islam ABIM, Dr Zulkifli Hassan pula bertindak sebagai moderator.

Wacana ini diadakan sebagai respon terhadap polemik pelaksanaan hukuman Hudud yang diketengahkan di media-media arus perdana. Sepanjang tempoh semenjak polemik ini tercetus minggu lalu, beberapa pihak telah mengkritik cadangan perlaksanaan undang-undang Hudud yang diketengahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan guru Dato’ Nik Abd Aziz Nik Mat. Selain bertentangan dengan perlembagaan Malaysia yang dikatakan bersifat sekular, Hudud juga di dakwa akan mengakibatkan diskriminasi

PERSPEKTIF SYARIAH & SEJARAH

Dr Abd Halim El-Muhammady menjelaskan secara umumnya, perlaksanaan hudud merupakan satu tuntutan syariat dan aqidah bagi umat Islam. “Perintah perlaksanaan hudud adalah bersifat qati’e atau mutlak iaitu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

Oleh itu proses dan usaha ke arah melaksanakan undang-undang hudud perlu diberikan perhatian serius,” jelas beliau sambil menambah walaupun tidak disepakati secara ijma’, perlaksanaan syariah Islam merupakan salah satu komponen atau ciri sebuah negara Islam.

Dari segi perspektif sejarah pula menurut Dr Ab Halim lagi, undang-undang hudud sebenarnya telah dilaksanakan sejak zaman Melaka. Beliau merujuk kepada manuskrip undang-undang Pahang yang juga digunapakai di Perak dan Johor di sekitar abad ke-17 yang kini disimpan di London, ia telah membuktikan bahawa undang-undang hudud merupakan undang-undang yang telah dikuatkuasakan ratusan tahun dahulu.

HUDUD DALAM KONTEKS PERLEMBAGAAN DAN DEMOKRASI

Prof Dr Abd Aziz Bari mengatakan perlembagaan meletakkan Islam di tempat yang istimewa. “Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Perkara 3 yang menyatakan Islam adalah agama persekutuan perlu juga dibaca dengan Perkara 11, 12 dan beberapa peruntukan yang lain jelas menunjukkan kedudukan istimewa Islam di dalam perlembagaan. Pandangan mengatakan perlembagaan Malaysia adalah sekular adalah tersasar dari pentafsiran sebenar perlembagaan,” jelas pakar perlembagaan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Prof Dr Abd Aziz Bari menegaskan bahawa perlaksanaan hudud juga perlu melihat dari aspek kehendak masyarakat atau rakyat. Dalam kes di Kelantan beliau berpandangan, sekiranya rakyat negeri tersebut telah bersedia dan bersetuju untuk perlaksanaan hudud, hasrat ini perlu disambut dan ditunaikan.

“Dalam soal perlembagaan, kita harus menyedari bahawa ia bukan sesuatu yang mutlak dan tidak boleh diubah. Ia boleh dipinda serta dimansuhkan. Namun begitu dalam masa yang sama, pindaan serta pemansuhan (perlembagaan) ini juga tidak perlu dilakukan kerana perlembagaan itu sendiri tertakluk kepada pelbagai tafsiran yang boleh menghasilkan perspektif-perspektif yang berbeza,” menurut beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga mencadangkan agar satu referendum atau pungutan suara dilakukan untuk meninjau hasrat dan kehendak rakyat mengenai perlaksanaan hudud. Sekiranya referendum itu positif, kerajaan Pusat seharusnya membantu kerajaan negeri ke arah perlaksanaannya dengan bersungguh-sungguh, tegas beliau lagi.

Undang-undang jenayah Islam boleh dilaksanakan di dalam kerangka perlembagaan dan lunas perundangan yang ada sekarang. Persoalannya ialah mahu atau tidak? ” jelas Prof Dr Aziz Bari yang juga merupakan penulis Islam Dalam Perlembagaan Malaysia.

APLIKASI UNDANG-UNDANG

Pengamal undang-undang syariah, Musa Awang undang-undang tidak seharusnya dijadikan halangan dalam merealisasikan hukuman Hudud. “Walaupun diakui terdapat beberapa halangan dari sudut undang-undang umpamanya Akta Bidangkuasa Mahkamah Syariah 1965 (Pindaan 1988) yang menghadkan bidang kuasa mahkamah syariah kepada hanya boleh mengenakan hukuman sebanyak 3 tahun penjara, RM5000 denda dan 6 kali sebatan, halangan seumpaman ini sebenarnya tidak boleh dijadikan alasan yang tidak membolehkan ianya dipinda atau dimansuhkan.

Bahkan, pindaan undang-undang tersebut boleh dilaksanakan oleh eksekutif tanpa perlu melalui proses mendapatkan mandat 2/3 majoriti yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.” jelas Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Beliau menambah,” Hatta perlembagaan pun pernah dipinda, undang-undang seumpama ini boleh sahaja dipinda atau dimansuhkan dengan adanya ’Political Will’.” Oleh itu menurut Musa Awang lagi, “Persediaan dari sudut yang lain, umpamanya kesediaan badan kehakiman, pengamal undang-undang, infrastruktur, badan penguatkuasa, badan pendakwa dan lain-lain juga perlu diambil perhatian sewajarnya dalam melaksanakan hukum hudud.

Dalam pada itu, Mohamad Raimi mengumumkan beberapa rumusan awal yang dicapai hasil daripada wacana ini yang meliputi:
1) Cadangan enubuhan Jawatankuasa Teknikal Mengkaji Perlaksanaan Hudud secara serius di Malaysia
(2) Menggerakkan ’Road Show’ atau Program Penerangan Undang-undang Hudud yang Berterusan.
(3) Mencadangkan satu referendum atau pungutan suara diadakan untuk memahami persepsi dan kehendak rakyat terhadap perlaksanaan hudud.

“Wacana hudud yang dianjurkan kali ini merupakan salah satu dari usaha ABIM ke arah mendidik masyarakat untuk membincangkan sebarang isu yang timbul secara ilmiah berdasarkan hujah. Isu hudud yang dibicarakan dari sudut perspektif yang perbagai sama ada perlembagaan, amalan undang-undang, sejarah, syariah dan demokrasi. Wacana kali ini juga telah mengetengahkan beberapa isu yang sangat signifikan untuk diambil perhatian oleh semua pihak.

"Pihak Abim akan memperhalusi cadangan dan saranan yang dirumuskan dalam wacana hari ini dalam masa terdekat dan mengenmukakannya kepada pihak berwajib. Justeru, adalah menjadi harapan kami agar segala cadangan dan saranan yang disyorkan dalam wacana ini disahut oleh pihak yang berwajib dan setiap usaha ke arah perlaksanaan hudud ini perlu dilaksanakan secara berhemah.Yang penting, langkah ke arahnya harus bermula, dan ia harus bermula sekarang” tegas Mohamad Raimi lagi.

0 Komentar untuk "Hudud Boleh diLaksanakan di Malaysia - ABIM"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI