Tiada Kesalahan Jenayah Dilakukan PM Berkaitan SRC International, RM2.6b - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tiada Kesalahan Jenayah Dilakukan PM Berkaitan SRC International, RM2.6b

PUTRAJAYA: Tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan ketiga-tiga siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd dan dakwaan dana RM2.6 bilion, kata Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Tiada apa-apa kesalahan jenayah," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa berhubung siasatan kes berkenaan.

Berikutan itu, katanya, ketiga-tiga kertas siasatan berkaitan akan dikembalikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa untuk ditutup.

Mohamed Apandi berkata, beliau telah mengkaji dengan teliti keseluruhan keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen serta maklum balas berkaitan klarifikasi dipohon sebelum ini berhubung satu kertas siasatan dikatakan melibatkan dana RM2.6 bilion dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International yang dikemukakan kembali kepadanya SPRM.

Berhubung kertas siasatan dana yang dikatakan berjumlah RM2.6 bilion, Apandi berkata, beliau berpuas hati berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen sokongan bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri adalah merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi kepadanya tanpa apa-apa balasan.

Beliau berkata, keterangan saksi dan dokumen sokongan yang dikemukakan SPRM menunjukkan dana yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri di antara 23 Mac 2013 dan 10 April 2013 berjumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) adalah sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Apandi berkata, pihak SPRM sendiri dalam siasatan menemui dan merakamkan percakapan saksi-saksi termasuk pemberi sumbangan dana tersebut yang mengesahkan sumbangan tersebut diberikan kepada perdana menteri secara peribadi.

"Saya berpuas hati bahawa tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dana tersebut adalah suatu bentuk suapan yang diberikan secara rasuah.

"Keterangan daripada siasatan tidak menunjukkan sumbangan dana tersebut diberikan sebagai dorongan atau sebagai upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan kapasiti beliau sebagai perdana menteri," katanya.

Apandi berkata, perdana menteri mengembalikan semula wang sejumlah AS$620 juta (RM2.03 bilion) kepada keluarga diraja Arab Saudi dalam bulan Ogos 2013 kerana dana tersebut tidak diguna pakai.

"Berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen-dokumen sokongan yang dikemukakan, saya berpuas hati bahawa tiada terzahir apa-apa kesalahan jenayah berhubung sumbangan dana RM2.08 bilion tersebut," katanya.- Bernama

0 Komentar untuk "Tiada Kesalahan Jenayah Dilakukan PM Berkaitan SRC International, RM2.6b"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI