Dilwale ungguli carta pawagam Malaysia - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Dilwale ungguli carta pawagam Malaysia

BIARPUN terpalit dengan beberapa kontroversi, filem Dilwale terus mencatat kejayaan tersendiri. Meskipun tidak mendapat kutipan memberangsangkan di India, Dilwale mendapat sambutan hebat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sehingga menjadi filem Bollywood terlaris yang ditayangkan.

Reaksi sama turut diterima untuk tayangan di Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan beberapa negara Eropah. Ia satu pencapaian yang jarang diraih filem Bollywood.

Manakala di Malaysia, Dilwale terus mengungguli carta di kebanyakan pawagam meskipun sudah hampir sebulan ditayangkan.

Atas faktor itu, sehingga 14 Januari lalu, Dilwale dilaporkan sudah mengutip RM198.86 juta membabitkan kutipan di seluruh dunia.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pawagam di Lembah Klang mendapati, filem yang diarahkan Rohit Shetty itu masih ditayangkan untuk tiga hingga enam sesi sehari berbanding Star Wars : Episode VII-The Force Awakens yang sudah dikurangkan sesi tayangan dua hingga tiga kali sehari.

Untuk rekod, filem Star Wars ditayangkan sehari awal daripada Dilwale.

Menurut Pembantu Pengurus TGV Cinemas cawangan Bukit Raja, Abdul Razak Za'aba, Dilwale mula ditayangkan di pawagam berkenaan sejak 31 Disember lalu.

"Sejak 31 Disember hingga 13 Januari lalu, sebanyak 113 tayangan dimainkan untuk filem berkenaan, dengan jumlah penonton hampir 14,000.

"Tayangan Dilwale secara tidak langsung telah mengatasi tayangan Star Wars di sini," ujarnya.

Rata-rata yang pernah menonton Dilwale menyifatkan filem tersebut amat dinantikan kerana memperlihatkan gandingan semula Datuk Shah Rukh Khan (SRK) dan Kajol di layar perak selepas kali terakhir berganding bersama menerusi My Name Is Khan pada 2010.

Selain gandingan SRK dan Kajol, Dilwale yang bergenre romantik muzikal dan aksi komedi ini turut dibintangi Varun Dhawan, Kriti Sanon, Johnny Lever dan Varun Sharma.

Filem ini turut digilai ramai peminat kerana menampilkan lagu menarik iaitu Gerua, Janam Janam, Tukur Tukur, Daayre dan banyak lagi.

Dilwale mengisahkan mengenai konflik dalam hubungan cinta di antara Kaali/Raj (SRK) dan Meera (Kajol) yang berlanjutan selama beberapa tahun tanpa kesudahan.

Halangan itu berlaku disebabkan pertelingkahan di antara keluarga mereka yang masing-masing terlibat dalam aktiviti kongsi gelap.

Hubungan yang pada awalnya tiada masalah bertukar bencana apabila keluarga Meera membongkar kisah silam Raj dan adiknya, Veer (Varun Dhawan) sehingga memaksanya meninggalkan lelaki itu.

Bukan hanya jalan cerita dan lakonan yang menyentuh perasaan, Dilwale yang menjalani penggambaran di Bulgaria turut menampilkan sinematografi yang tidak menghampakan, malah visual melatari naskhah berkenaan benar-benar menakjubkan.

Kajol pukau penonton

Tidak hanya gandingan 'King of Bollywood' ini yang menjadi perhatian ramai, kemunculan Kajol dengan perbezaan gaya dan kecantikan yang luar biasa turut menarik perhatian.

Masakan tidak, sejak kemunculannya di dalam filem berkenaan, beberapa pihak mula berkongsi cara Kajol berdiet dan menjaga kecantikan.

Bahkan ada juga yang sanggup menonton filem berkenaan beberapa kali kerana terpukau dengan kecantikan wanita itu.

"10 tahun saya bekerja berlakon di bawah terik mentari membuatkan kulit saya gelap. Kini saya tak lagi bekerja begitu, sebaliknya lebih banyak berada di rumah, jadi kulit saya makin putih. Ia bukan kerana pembedahan.

"Saya tidurkan anak pada jam 9.30 malam dan saya sendiri akan lena selepas mereka melelapkan mata. Saya tidak berjaga lewat malam dan tidak menghadiri parti. Jika ada kerja malam, sebaik selesai saya akan terus pulang," kata Kajol.

Dalam pada itu, berkongsi pengalaman awal terlibat di dalam pembikinan Dilwale, Kajol berkata, ketika dia dilamar untuk berlakon di dalam filem itu, dia dan suaminya, Ajay Devgan sedang dalam perancangan menerbitkan sebuah filem.

Bagaimanapun 'lamaran' dan pujukan SRK yang disifatkan tetap sama seperti 25 tahun lalu secara tidak langsung membuatkan dia bersetuju untuk kembali bergandingan bersama aktor tersebut.

"Saya gembira setiap kali bekerjasama dengan dia (SRK). Dia seorang yang lucu dan mudah beri kerjasama ketika bekerja. Malah setelah sekian lama berkawan, saya selesa bekerjasama dengannya.

"Walaupun telah berpengalaman dalam berpuluh filem, dia tetap teruja setiap kali memulakan penggambaran seperti memberi pendapat, merancang apa yang mahu dilakukan.

"Saya pula akan sentiasa menenangkan dia dengan berkata, 'bertenang, ini filem awak yang ke-255.'," katanya sambil ketawa.

SRK dedah rahsia

Sementara itu, SRK berkata, kerinduannya untuk bekerjasama dengan Kajol membuatkan dia tekad untuk mendapatkan aktres berusia 42 tahun itu di dalam filem terbaharu terbitannya.

Menyifatkan Kajol sebagai keajaiban di skrin, SRK merasa bertuah apabila ibu kepada dua cahayamata itu bersetuju untuk bersamanya selama 150 hari demi Dilwale.

"Setiap kali berlakon bersama orang lain, saya sentiasa rindukan gandingan bersama Kajol. Dia beri kami tempoh 150 hari menyiapkan filem ini dan ketika berada jauh dari anak-anak, saya tahu dia sudah buat satu pengorbanan yang besar demi kerjanya," ujarnya.

SRK dan Kajol sebelum ini pernah sama-sama bergandingan untuk filem Baazigar, Karan-Arjun, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Kabhie Khushi Kabhi Gham dan My Name Is Khan.

Ditanya keistimewaan Kajol di matanya, SRK berkata, sejujurnya ketika mula mengenali wanita itu, dia tidak mempunyai pandangan yang baik terhadap Kajol.

"Ketika saya bekerjasama dengan dia menerusi Baazigar, Aamir ada bertanya saya tentang dia kerana Aamir berminat untuk bekerjasama dengannya.

"Saya kemudiannya meninggalkan komen dan menyifatkan Kajol seorang yang teruk, tidak fokus di dalam kerja dan dia tidak sesuai bekerjasama dengan Aamir.

"Tetapi selepas itu, saya melihat Kajol sebagai satu keajaiban di dalam skrin. Dia seorang pelakon yang jujur dan mempunyai kualiti kerja baik.

"Bila Suhana (anak SRK) meluahkan hasrat untuk menjadi pelakon, saya minta dia belajar berlakon dari Kajol kerana Kajol ada sesuatu aura yang sukar untuk saya jelaskan," jelasnya.

0 Komentar untuk "Dilwale ungguli carta pawagam Malaysia"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI