Tol: PSKLM Pertikai Cadangan Rafizi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tol: PSKLM Pertikai Cadangan Rafizi

KUALA LUMPUR: Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mempertikai cadangan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli supaya pemegang konsesi lebuh raya sedia ada, diberi keutamaan dalam projek lebuh raya akan datang sebagai mekanisme mengekang kenaikan kadar tol.

Dalam kenyataan pada Rabu, persatuan itu menarik perhatian bahawa di Malaysia terdapat 31 lebuh raya bertol dimiliki syarikat konsesi berbeza dengan pelabur dan pemegang taruh mempunyai komitmen berbeza mengikut polisi syarikat masing-masing.

Ini bermakna kerajaan perlu ada 31 'projek gantian' dengan nilai sama untuk ditukarkan dengan nilai penyelarasan kadar tol berkala bagi 31 konsesi lebuh raya sedia ada, kata persatuan itu.

"Namun, sekiranya projek berkenaan tiada kaitan dengan kepakaran syarikat konsesi, contohnya pembangunan hospital, ini bermakna syarikat perlu membuat pelaburan baharu.

"Ini sudah pasti boleh menaikkan kos pembangunan hospital itu sendiri dan akhirnya boleh merugikan negara," kata PSKLM.

Senario itu, kata PSKLM boleh menjurus kepada syarikat pakar dalam pembinaan hospital tidak boleh lagi bersaing untuk mendapatkan projek berkenaan kerana telah diberi secara terus kepada syarikat konsesi lebuh raya.

"Ini sudah tentu bertentangan dengan prinsip keterbukaan dan persaingan secara adil yang diguna pakai dalam pasaran," kata persatuan itu sambil menambah landskap ekonomi, politik dan sosial negara mungkin berubah mengikut keperluan dan kesesuaian pada masa akan datang.

"Tidak ada sesiapa dapat memastikan siapa penentu kepada projek lebuh raya di masa akan datang. Sekiranya syarikat konsesi sedia ada dijamin mendapat projek akan datang, besar kemungkinan proses pemberiannya pula akan dipersoal," kata persatuan itu.

Dalam posting di blognya, Rafizi mencadangkan supaya pemegang konsesi lebuh raya mendapat keutamaan dalam projek-projek lebuh raya akan datang sebagai pertukaran untuk tidak menaikkan kadar tol.

Dengan cara ini, beliau berkata mereka tidak perlu bimbang tentang keuntungan yang berkurangan kerana mereka mempunyai potensi untuk terus terlibat dalam projek lebuh raya kerajaan yang akan datang dengan syarat perjanjian ditetapkan secara adil mengikut kadar keuntungan munasabah.

PSKLM menegaskan bahawa cadangan itu memerlukan persetujuan kesemua pemegang taruh bagi 31 lebuh raya di negara ini, dan realitinya ia boleh menimbulkan pelbagai kerumitan dan memakan masa lama atas pelbagai sebab.

Menurut persatuan itu, besar kemungkinan 'projek gantian' tidak memenuhi syarat ditetapkan institusi kewangan yang telah membiayai konsesi asal.

PSKLM berkata sekiranya penyelarasan kadar tol tidak dilaksanakan kerana menunggu 'projek gantian', ia sudah pasti akan memberi kesan kepada pinjaman kewangan yang telah dibuat berlandaskan kepada jangkaan aliran tunai hasil daripada kenaikan kadar tol berkala yang dipersetujui ketika perjanjian ditandatangani.

"Tidak salah untuk kami nyatakan bahawa ada kemungkinan syarikat konsesi tidak dapat memenuhi obligasi kewangan mereka kepada pemberi pinjaman sekiranya penyelarasan kadar tol tidak dilaksanakan," kata kenyataan itu.

Penyelarasan kadar tol yang berkuat kuasa Khamis, melibatkan lebih 10 lebuh raya utama di Lembah Klang serta Johor.

Semalam, Kementerian Kerja Raya berkata kerajaan telah menangguhkan kenaikan kadar tol di lebuh raya yang layak mendapat kenaikan sejak 2008 sebagai antara inisiatif untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.

Jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada syarikat konsesi lebuh raya dari 2008 hingga 2013 adalah RM1,108.91 juta, manakala bagi 2014 berjumlah RM402.99 juta.

Langkah itu diambil supaya syarikat konsesi lebuh raya tidak menaikkan kadar tol, sekali gus meringankan beban kewangan orang ramai.

0 Komentar untuk "Tol: PSKLM Pertikai Cadangan Rafizi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI