PR 2.0: Wan Azizah hormati keputusan Pas - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PR 2.0: Wan Azizah hormati keputusan Pas

KUALA LUMPUR - [VIDEO] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghormati keputusan Pas sekiranya mereka enggan hadir pada persidangan meja bulat yang bakal berlangsung pada Selasa ini.

Menurutnya, beliau berniat baik dengan menjemput semua pemimpin parti pembangkang serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) ke persidangan itu.

"Saya sebagai ketua pembangkang telah mengemukakan jemputan ke persidangan itu untuk kita sama-sama mencari jalan demi mewujudkan masa depan Malaysia yang lebih baik.

"Jadi, itu adalah pilihan Pas sama ada mereka hendak hadir ataupun tidak dalam persidangan tersebut," katanya ketika ditemui selepas merasmikan 'Forum Pembangunan dan Kerajaan Gabungan' di Hotel Grand Continental, di sini, hari ini.

Walaupun Pas sudah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak akan datang ke persidangan berkenaan, menurutnya, beliau tidak menutup pintu bagi parti itu untuk hadir.

"Itu jawapan mereka (Pas). Tetapi, kita masih membuka jemputan sekiranya mereka hendak hadir kerana kita sudah menjemput mereka," katanya.

Kata Wan Azizah, pihak pembangkang memerlukan semua parti pembangkang termasuk di Sarawak dan Sabah untuk memenangi pilihan raya yang akan datang.

Dalam pada itu, menurut beliau, persidangan meja bulat berkenaan akan berlangsung di Hotel Empire, Subang Jaya bermula pada jam 10 pagi.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Pas tidak bersedia untuk mengadakan persidangan meja bulat dengan DAP serta Parti Amanah Negara.

Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, hal ini selaras dengan pegangan kepimpinan pusat partinya, dan pelawaan itu ditolak kerana ia bukanlah masa yang sesuai untuk menjalinkan kerjasama dengan dua parti berkenaan.

0 Komentar untuk "PR 2.0: Wan Azizah hormati keputusan Pas"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI