Optimisme perjuangan PAS tidak luruh dek sergahan GHB - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Optimisme perjuangan PAS tidak luruh dek sergahan GHB

Jika hendak dibanding sikap dan pendirian yang pemimpin-pemimpin G-18 yang hendak menubuhkan sebuah parti Islam baharu dengan niat mengkuburkan PAS dengan para sahabat Rasulullah s.a.w. adalah ibarat bumi dengan langit.

Kumpulan G-18 ini telah tidak lagi diberi kepercayaan oleh ahli parti untuk memimpin PAS dalam konteks politik hari ini. Sebab itu mereka tidak diundi untuk terus mengisi saf kepimpinan PAS.

Reaksi G-18 ialah jahanamkan PAS. Mereka mahu tinggalkan PAS dan menubuhkan parti Islam baharu. Namun sebelum mereka sepuas-puasnya melemparkan tuduhan bahawa PAS sudah tidak relevan dan autokratik.

Sebaliknya, para sahabat Rasulullah s.a.w. ada yang dilucutkan kedudukan kepimpinan mereka oleh baginda Rasul dan Saidina Umar Ibnu Khattab sendiri tetapi tidak pernah berfikiran negatif untuk meranapkan Islam.

“Bandingkan diri kita dengan Saad bin Ubadah r.a.  yang dilucut jawatan oleh Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa Fathu Makkah, Khalid bin Al-Walid r.a. yang dipecat oleh Khalifah Umar r.a. tetap bersama saf perjuangan sehingga wafat.

“Begitulah Ka’ab bin Malik r.a. kerana tidak menyertai perjalanan ke (Perang) Tabuk sehingga diambil tindakan disiplin dipulau beberapa bulan.

“(Beliau) tidak keluar daripada jamaah dan tidak menerima tawaran Raja Ghassan supaya meninggalkan jamaahnya,” Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataan yang ditujukan khas kepada sesiapa yang berkenaan PAS sahaja, presiden PAS itu menghuraikan dengan jelas apakah erti perjuangan bagi PAS.

Umum tahu huraian ini khusus untuk G18 yang kini cuba melukis gambaran jelek terhadap PAS. Hadi menghuraikan ciri dan sikap perjuangan PAS apabila berkata:

“Kumpulan yang ditetap oleh Allah dengan segala sifat dan cirinya di-dalam Al-Quran dan ditafsirkan oleh Rasulullah s.a.w. sehingga tidak boleh dilakon atau dikelirukan.

“Kumpulan yang ikhlas bersamanya daripada semua peringkat dan lapangan, mereka bukan sahaja berhubung dengan manusia, bahkan berhubung dengan Allah siang dan malam.

“(Ini), termasuk mereka yang dianggap bodoh, tetapi bodohnya tidak lupakan Allah siang dan malam. Bukan sahaja yang kaya menyumbang harta dan (malah) yang alim dan bijak menyumbang ilmu dan kemahiran.

“Termasuk juga yang miskin dan bangsat (dipandang hina kebanyakan umum) menyumbangkan doa dan tenaga dengan ikhlas tanpa terlibat dengan pertandingan pemimpin dan meminta menjadi calon dan jawatan.

“Kesemua mereka tetap pendirian walaupun tidak dipilih dalam mesyuarat agung atau muktamar. Mereka tidak dicalonkan dalam pilihan raya dan tidak mendapat projek dan balak tetapi tidak merajuk dan terus beristiqamah”.

Sebaliknya, kata Hadi, mereka yang merasakan dirinya sangat bijak tanpa hubungan erat dengan Allah pasti tidak selamat dengan rasa bijaknya sahaja.

Mereka kini terbukti tidak mampu mengubah dasar, mengalih matlamat kerana ingin mencapai cita-citanya segera dengan menggunakan PAS.

“Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan pula hanya memintas di tengah jalan, hanya meramal untuk menang dunia sahaja.

“Sesiapa yang tidak istiqamah di atas aqidah, dasar dan matlamat pasti berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar daripada jamaah,” katanya.

Kini ahli akar umbi PAS sudahpun membuat penilaian mereka terhadap pemimpin yang disifatkan Hadi tidak ikhlas ini apabila ‘mengusir’ mereka dari barisan kepimpinan PAS.

Natijahnya, PAS kini masih dililiti keyakinan diri yang tinggi. Optimisme ini dipancarkan dalam sikap mereka  menangani segala  sindiran, ejekan dan sikap memerli G-18 terhadap PAS.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi misalnya, menegaskan bahawa PAS  berpegang pada prinsip bahawa Islam sentiasa sesuai dihayati pada semua zaman dan tempat.

“Bermakna pada sebarang zaman dan tempat, PAS wajib menyampaikan Islam kepada masyarakat dan dilaksanakan secara berperingkat dengan membina kefahaman menerusi dakwah, siasah dan tarbiah,” katanya.

Menurutnya, biarpun disebabkan pegangan itu, PAS dicemuh dan dihina termasuk dikenakan tekanan, PAS sama sekali tidak akan beralih arah dan menyimpang dari dasarnya.

“PAS menolak politik maipulasi, fitnah, penyelewengan atau memperalat mekanisme ke arah ‘matlamat menghalalkan cara’ dalam meraih kemenangan dan mendapatkan kuasa.

“Sebarang pendekatan populis, pragmatik, sekular dan seumpamanya yang tidak berpaksi pada Islam, sekadar untuk meraih undi juga bukan budaya parti,” katanya.

Ahmad Fakhruddin berkata, saban tahun PAS menyegarkan momentumnya menerusi Muktamar yang menjadi pemutus pergerakannya agar  terus relevan, lestari dan membawa perubahan.

 “Pembaharuan harus menyatukan, bukan mufaraqah dan perpecahan hingga meragukan masyarakat.

“PAS digerakkan secara kolektif oleh ahlinya melebihi satu juta, pandangan dan pilihan mereka diterima namun setiap individu tertakluk kepada Perlembagaan PAS.

“Menolak atau mengingkari kehendak majoriti hanyalah menunjukkan sikap kekecewaan dan tidak membawa kemajuan,” katanya.

Rumusan yang boleh dibuat berhubung situasi PAS kini ialah ia tidak goyah disergah oleh G-18, GHB mahupun Pasma, PKR dan lebih-lebih lagi DAP kerana ia mempunyai formula perjuangan yang ampuh:

"Jangan kamu berasa hina atau lemah ketika menghadapi penentang kamu, sekiranya kamu menderita kesakitan, mereka juga berada dalam kesakitan yang sama, namun keadaan kamu berbeza kerana kamu berharap daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan." (Surah An-Nisa' ayat 104)  - AntaraPOS

0 Komentar untuk "Optimisme perjuangan PAS tidak luruh dek sergahan GHB"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI