SEMENTARA itu, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama, Anuar Chew Abdullah yang memenangi kategori terbaik menerusi drama Matahari Terbit Lagi mengakui terkejut dengan kemenangannya itu.

Apatah lagi menurut Anuar Chew, dia tidak mengetahui bahawa tercalon dalam ASK18.

"Saya sejujurnya tidak tahu bahawa saya tercalon dan hanya datang kerana di undang TV3. Ini merupakan pertama kali saya tercalon dalam ASK dan menang.

"Apa pun saya berterima kasih kepada TV3 dan juri kerana memilih saya selaku pemenang dan calon lain seperti Pekin Ibrahim, Datuk Rosyam Nor, Taiyuddin Bakar dan Sharnaaz Ahmad juga adalah pemenang untuk kategori ini," katanya yang sudah berkecimpung di dalam industri seni sejak akhir 1980-an lagi.

Anuar Chew yang sudah memeluk Islam sejak tahun 1995 berkata, dia pada awalnya berasa lelah berlakon di dalam drama arahan Azeli Mohammad yang turut dinobatkan selaku Pengarah Terbaik Drama, kerana pengarah terbabit terlalu teliti.

"Dia ambil banyak masa untuk menyediakan set termasuk dari sudut pencahayaan yang berbeza daripada drama lain. Walaupun saya tak suka tapi saya rasa ia sangat berbaloi malam ini (kelmarin)," katanya yang akan muncul dengan filem Seludup, Gila Baby tidak lama lagi.