KOTA BHARU - Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat yang diwujudkan untuk mengkaji pelaksanaan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan, akan membuat keputusan yang lebih sah dan bebas daripada pengaruh parti politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata jawatankuasa itu memang tidak dianggotai orang politik dan ia berpegang kepada peraturan dan pelaksanaan hukum hudud.
  
"Jawatankuasa tersebut telah pun wujud dan akan melaksanakan tugas secara tangungjawab dalam lingkungan mereka. Orang (anggota jawatankuasa) itu faham undang-undang dan arah mana undang-undang itu hendak dibawa," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Multaqa (pertemuan) Imam, Guru Takmir (agama) dan Jawatankuasa Masjid Mukim negeri Kelantan 2014 di Kompleks Islam Darulnaim, Lundang di sini, hari ini.
  
Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
  
Jamil Khir berkata, antara tanggungjawab jawatankuasa itu ialah memberi pandangan arah tuju berkaitan rang undang-undang persendirian (hukum  hudud) sebelum kerajaan negeri Kelantan membentangkannya di Parlimen kelak.

"Jawatankuasa ini juga akan memandu kita apakah perkara yang perlu diberi penambahan dan pindaan," katanya sambil menyatakan tiada tempoh diberikan kepada jawatankuasa itu untuk menyelesaikan tugas mereka.
  
Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah Pas mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (Hukum Hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.
  
Pembentangan rang undang-undang persendirian itu bertujuan mendapatkan kebenaran melaksanakan hukum hudud itu seperti yang diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.
  
Terdahulu semasa berucap pada majlis berkenaan, Jamil Khir mengumumkan pada tahun ini, kerajaan pusat melalui Jakim memperuntuk sebanyak RM68.52 juta kepada kerajaan negeri Kelantan untuk membayar elaun 840 imam, 267 guru takmir, 5,306 guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa), 10 pegawai penyelaras masjid jajahan negeri ini.
  
Katanya Imam harus memainkan peranan yang lebih aktif untuk mengimarahkan masjid masing-masing dengan pelbagai program bagi memartabatkan syiar dan syariat Islam. - Bernama