S Arulchelvan
S Arulchelvan
SHAH ALAM - Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa PR memberikan jawapan bertulis berhubung permohonan penyertaannya dalam pakatan tersebut bagi meleraikan percanggahan keputusan yang berlaku.

Setiausaha Agungnya, S Arulchelvan berkata, permohonan untuk menyertai PR telah dihantar secara "hitam putih" pada September tahun lalu.

Tambahnya, permohonan itu dilakukan atas sebab permintaan rakyat untuk PSM disatukan dengan PR.

"Sudah terlalu lama, kita harap PR dapat menghantar surat secara bertulis mengenai status permohonan kami.

"Kami keliru keputusan bercanggah...Kami juga tidak mahu rakyat keliru," katanya kepada Sinar Harian Online.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh menyatakan PR perlu pertimbangkan keputusan PSM untuk menyertai perikatan itu sebaik-baiknya.

Dalam sidang media semalam, Karpal berkata,  sistem dua parti patut diamalkan di Malaysia dan ini hanya boleh dicapai sekiranya PSM turut menganggotai PR.

Dalam pada itu, Karpal juga berkata beliau tidak tahu menahu dan terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution bahawa permohonan PSM
untuk menyertai PR telah ditolak.

"Saya rasa itu bukan pendirian Pakatan. Saya tidak tahu mengenainya," kata beliau.

Mengulas lanjut, Arulcehelven juga berkata, sebarang keputusan PR yang diberikan secara rasmi melalui surat akan diterima dan dibincangkan semula dengan ahli PSM pada kongres kali ini.

"Buat masa sekarang keputusan kita memang mahu sertai PR.

"Tapi kita akan bincang semula apabila menerima surat rasmi daripada PR sama ada mahu terus bekerjasama dengan PR ataupun tidak," katanya lagi.