Benazir terus ingkar - Rapat umum bantah darurat tetap diteruskan Selasa ini - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Benazir terus ingkar - Rapat umum bantah darurat tetap diteruskan Selasa ini


BENAZIR ditemu bual oleh sekumpulan wartawan di luar kediamannya di Islamabad, semalam.– AFP.

ISLAMABAD 10 Nov. – Pihak polis hari ini menghalang bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto daripada menemui bekas Ketua Hakim Negara, Iftikhar Muhammad Chaudhry kerana “sebab-sebab keselamatan”.

Benazir yang dibebaskan daripada tahanan rumah lewat semalam, hari ini cuba menemui Iftikhar yang turut dikenakan tahanan rumah tetapi pihak polis menghalang laluan dengan meletakkan dua buah trak di kawasan itu.

“Iftikhar adalah pemimpin keadilan dan merupakan Ketua Hakim sebenar,’’ kata Benazir menerusi pembesar suara ketika mendesak pihak polis membuka laluan tersebut.

Beliau yang turut mengisytiharkan bahawa “perang menentang diktatorship akan diteruskan” berkata, parti pimpinannya, Parti Rakyat Pakistan (PPP) akan meneruskan rapat umum yang terhalang di Rawalpindi dengan perarakan bermotor dari Lahore ke Islamabad, Selasa ini.

Katanya, tindakan kerajaan menghalang rapat umum di Rawalpindi semalam tidak akan menghalang beliau dan PPP mengadakan perhimpunan besar-besaran.

Benazir turut menyertai sekumpulan wartawan yang mengadakan protes di luar sebuah stesen televisyen bagi membantah sekatan kerajaan ke atas media penyiaran swasta.

Semalam, siaran BBC dan CNN disekat oleh kerajaan selepas menyiarkan berita penahanan Benazir.

Bekas Perdana Menteri itu yang akan berlepas ke Lahore esok berkata, Pervez boleh menghalang protes besar-besaran itu sekiranya beliau mengembalikan semula perlembagaan, menamatkan perintah darurat dan meletak jawatan dalam tentera selain mengadakan pilihan raya umum menjelang pertengahan Januari ini.

Pervez kelmarin mengumumkan bahawa pilihan raya itu akan diadakan pada 15 Februari nanti.

Presiden itu turut berikrar untuk meletak jawatan dalam tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam sekiranya panel Hakim Mahkamah Agung menolak petisyen yang mencabar kesahihan pemilihan semula beliau, 6 Oktober lalu.

Bagaimanapun, ramai yang sangsi dengan ikrar tersebut kerana sekiranya Pervez meletak jawatan sebagai ketua tentera, beliau tidak lagi berkuasa penuh dalam negara kuasa nuklear ini.

– AFP

0 Komentar untuk "Benazir terus ingkar - Rapat umum bantah darurat tetap diteruskan Selasa ini"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI