Pengangkutan awam bantu lestarikan bandar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pengangkutan awam bantu lestarikan bandar



TERMETERAINYA perjanjian Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara Kerajaan Malaysia dan Singapura baru-baru ini serta pelancaran Transit Aliran Massa (MRT) dari Sungai Buloh-Semantan dalam Jajaran I dan hingga ke Kajang dalam fasa seterusnya, menandakan permulaan cukup bermakna kepada pembangunan sistem pengangkutan awam antara bandar di negara ini. Di samping itu peruntukan besar di dalam Bajet 2017 untuk membangunkan sistem pengangkutan awam terutama di Lembah Klang, akan beri kelegaan berganda kepada penduduknya dalam tempoh mendatang. Pembangunan sistem pengangkutan awam ini dilihat agak terabai sebelum ini. Tumpuan pembangunan fizikal dan infrastruktur seperti perumahan, institusi pendidikan, komersial dan seumpamanya dilaksanakan begitu baik, namun tidak disertai pembangunan sistem pengangkutan awam menghubungkan tempat itu dengan berkesan, cekap dan sistematik.

Natijahnya, masyarakat kita terutama yang menghuni di bandar besar ini sering berdepan pelbagai isu dan masalah yang menghambat kesejahteraan hidup warganya, disebabkan kerencatan perjalanan dan mobiliti penduduk, sama ada untuk tujuan pekerjaan, hiburan, permainan, sukan dan riadah. Kehidupan harian masyarakat bandar yang berlumba dengan masa gagal diurus sebaiknya kerana pelbagai masalah membelenggu kehidupan seharian, akibat kesesakan lalu lintas. Pelbagai masalah dihadapi warga bandar Lembah Klang kesan kesesakan lalu lintas setiap hari, menimbulkan pelbagai masalah lain yang mungkin beri tekanan perasaan dan boleh bawa penyakit utama seperti darah tinggi, tekanan perasaan, gangguan mental dan seumpamanya.

Kesesakan jalan raya 

Diperhatikan perancangan pembangunan dan pengangkutan bandar di negara ini berasaskan penggunaan kenderaan persendirian yang akhirnya menyebabkan berlaku kesesakan yang gagal diselesaikan walaupun lapisan demi lapisan jalan raya dan lebuh raya dibina di bandar. Kesan ditanggung kerajaan dan pemaju jalan raya antara lain ialah kos penyelenggaraan jalan raya dan lebuh raya yang semakin meningkat saban tahun. Hasilnya pula dikenakan terhadap kos tol yang terus meningkat, sekali gus membebankan pengguna. Dalam keseluruhan rantaian itu, yang menanggung bebannya adalah pengguna akhir. Keadaan ini belum lagi mengambil kira turun naik harga petrol setiap hujung bulan yang turut mempengaruhi kehidupan harian rakyat. Rakyat terkesan dengan kenaikan harga petrol menyebabkan peningkatan harga pengangkutan barangan utama dan barangan keperluan harian lain. Warga bandar akan berpusu-pusu menyerbu stesen petrol berhampiran jika diketahui harga bahan bakar itu akan naik keesokannya. Proses pembandaran pesat dan berterusan melanda negara ini sejak 1970-an lagi mewujudkan sekurang-kurangnya lapan wilayah yang boleh dikategorikan sebagai wilayah pembandaran yang sedang dan berterusan mengalami pembandaran pesat untuk tempoh 30 tahun akan datang.

Wilayah itu adalah pembandaran Kuala Lumpur; Pulau Pinang-Sungai Petani; Johor Bahru-Pasir Gudang-Nusajaya; Kuantan-Pekan; Kemaman-Kuala Terengganu; Kota Bharu-Kuala Krai; Kota Kinabalu-Teluk Sepanggar dan Kuching-Kota Samarahan. Wilayah perbandaran ini akan terus berkembang pesat didukung faktor dalaman dan luaran. Mahu tidak mahu, kawasan dinyatakan ini akan alami perubahan dalam pelbagai bidang ekosistem, sosial, ekonomi malahan politiknya yang menjadi kawasan tepubina dan wilayah perbandaran baharu. Pembangunan sistem pengangkutan awam ini akan mengubah landskap pembandaran terutama di Kuala Lumpur yang menganjur dari Tanjung Malim di utara hingga ke Linggi di sempadan Negeri Sembilan dan Melaka untuk tempoh tiga dasawarsa mendatang, selain wilayah perbandaran yang berkembang.

Namun, apakah implikasi pembangunan sistem pengangkutan awam bandar ini terhadap kehidupan harian warga bandar itu sendiri? Kedinamikan sosial bandar ditentukan oleh sistem pengangkutan awam yang cekap, berkesan dan sistematik kerana mobiliti penduduk yang tersusun dan teratur membawa kepada kemakmuran kehidupan yang semakin meningkat kualitinya saban hari. Hubungan ruang dengan ruang serta manusia dan manusia lainnya yang terbina melalui sistem pengangkutan awam yang cekap ini, akan meningkatkan kedinamikan sosial keseluruhan masyarakat itu tanpa mengetepikan kehebatan yang dibawa oleh teknologi komunikasi internet, yang cekap menghubungkan manusia dengan manusia tidak kira di manapun berada.

Kedinamikan sosial pula membawa kepada pembentukan ekonomi bandar yang cergas, melambangkan kemakmuran ekonomi warganya yang ditandai oleh interaksi cergas antara bandar dan di dalam bandar itu sendiri. Keseluruhan kerancakan ekonomi itu didukung kuat oleh sistem pengangkutan awam yang cekap, di samping faktor dalaman dan luaran yang tidak boleh diketepikan. Ada pandangan bahawa dari satu titik ke satu titik lain dalam sistem pengangkutan awam itu menjadi penentu sempadan pentadbiran dan operasi bandar itu sendiri. Ini bermakna sesetengah kawasan yang menjadi laluan LRT, MRT mahupun HSR akan bertindak sebagai pencetus dan pemangkin kepada kerancakan ekonomi kawasan sekitarnya.

Contohnya, beberapa bandar kecil yang menjadi laluan sistem pengangkutan awam ini akan maju dari pelbagai aspek iaitu dari sekecil-kecil sumbangan ekonominya hinggalah kepada pembangunan kawasan perumahan yang pesat dalam tempoh beberapa tahun. Ikatan, jaringan dan rangkaian pengangkutan awam ini disumbang oleh perkhidmatan ekosistem bandar itu sendiri, seterusnya kepada kemakmuran bandar keseluruhannya.

Oleh Dr Shaharudin Idrus

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/225794
0 Komentar untuk "Pengangkutan awam bantu lestarikan bandar "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI