Cara Rasulullah berdakwah perlu dijadikan inspirasi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Cara Rasulullah berdakwah perlu dijadikan inspirasi



Kisah kehidupan, keperibadian dan langkah perjuangan idola seluruh umat Islam sepanjang zaman, Nabi Muhammad Rasulullah SAW sering dititip dan dibicarakan dalam majlis kuliah dan tazkirah. Apabila kita renung kembali kehidupan Baginda sejak lahir hingga wafat, Allah SWT menciptakan Muhammad sebagai seorang lelaki yang dipelihara iman dan akhlaknya. Pada masa sama, keluarga kecil Baginda di Kota Makkah dikelilingi watak jahat, kufur dan penyembah berhala yang sentiasa mencari jalan menghancurkan usaha dakwah apabila Baginda dilantik menjadi rasul. Wahyu mengarahkan Baginda Rasulullah SAW dan sahabat supaya terus bertahan dan bersabar dengan segala tindakan orang kafir Quraisy. Kesabaran yang dituntut hanya semata-mata meyakini lafaz 'La Ilaha Illallah,' bermaksud 'Tiada Tuhan Selain Allah dan Nabi Muhammad Pesuruh Allah.'

Lafaz kalimah syahadah ini ringkas dan mudah disebut, tetapi bagi mereka yang faham dengan mendalam, ia perjanjian agung antara seorang manusia untuk meletak seluruh kehidupan untuk Allah SWT semata-mata. Selepas tamat fasa Islam di Makkah akibat pembatalan perjanjian pemulauan oleh orang kafir dan wahyu Allah SWT yang mengarahkan orang Islam Makkah berhijrah, bermulalah fasa Islam seterusnya di Madinah. Di Madinah, Rasulullah SAW membentuk masyarakat Madinah supaya cinta kepada tanah air sendiri dan menghalang segala usaha penjajahan luar melalui perisytiharan Piagam Madinah.

Menyatukan masyarakat 

Antara kandungan piagam ini tidak lain menyatukan orang Islam yang berhijrah dari Makkah (dipanggil Muhajirin) dan orang Islam Madinah (dipanggil Ansar), mengisytiharkan hak orang Yahudi dan penyembah berhala di Madinah sebagai warganegara Madinah serta larangan mengadakan sebarang hubungan dengan orang Makkah. Islam di Madinah tidak mampu tertegak melalui Piagam Madinah semata-mata apabila orang Yahudi yang memusuhi Islam mewujudkan kelompok munafik daripada kalangan orang Islam setelah kejayaan umat Islam dalam pertempuran Badar. Kelompok munafik yang penuh kepura-puraan sentiasa mencari jalan menimbulkan permusuhan sesama umat Islam melalui khabar fitnah, berita palsu dan mengadu domba.

Perlakuan buruk Yahudi Madinah sampai ke kemuncaknya apabila mereka mencabul kehormatan seorang wanita Madinah secara tidak langsung melanggar Piagam Madinah. Maka, orang Yahudi ini dihalau dari Madinah dan diperangi dalam Perang Khaibar. Dakwah ertinya menyampaikan dan dakwah Islamiah mesti disampaikan selagi adanya manusia. Rasulullah SAW mengutus sahabat menyampaikan risalah dakwah mengandungi pengenalan wujudnya Allah SWT, kemestian tunduk kepada kekuasaan-Nya dan pengakuan Muhammad sebagai pesuruh Allah.

Alhamdulillah, ada pembesar negeri menerimanya lalu mengarahkan seluruh rakyat, termasuk dirinya memeluk Islam. Bagaimanapun, ada pembesar yang bukan sahaja menolaknya, malah sahabat Baginda yakni pengutus risalah juga dibunuh, maka seruan jihad senjata dilaungkan bagi menumbangkan tembok dakwah ini. Tunjang utama dakwah Islamiah yang diajar oleh Rasulullah SAW dan diikuti sahabat ialah penegakan akidah yang sahih, iaitu tunduk kepada kekuasaan Allah SWT dan keyakinan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah SWT.

Isu akidah bukan keutamaan pendakwah masa kini 

Kesilapan generasi pendakwah akhir zaman ini ialah tidak meletakkan isu akidah sebagai agenda dakwah mereka yang utama. Hakikatnya kesempurnaan akidah datang daripada ketinggian iman yang sangat hebat, biasanya melalui amalan fardu seperti solat yang khusyuk, ibadah sunat, qiamullail, membaca dan mentadabbur al-Quran serta menahan diri daripada melakukan zina, kemaksiatan dan dosa kecil. Allah SWT menjanjikan pengakhiran usaha dakwah kita melalui ayat ke-55 Surah an-Nur yang bermaksud: "Allah SWT menjanjikan orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang yang sebelum mereka: Khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadah kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka." Soalnya sekarang, adakah kita menjadikan perjuangan dakwah Rasulullah SAW sebagai inspirasi dalam setiap gerak dakwah kita?

Oleh Fakhruddin Afif Fauzi
Penulis adalah Ketua Penerangan, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Cawangan Alor Setar

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224554
0 Komentar untuk "Cara Rasulullah berdakwah perlu dijadikan inspirasi "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI