Balu Harun Salim Bachik Kesal Dipandang Negatif Masyarakat - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Balu Harun Salim Bachik Kesal Dipandang Negatif Masyarakat




KUALA LUMPUR: Balu kepada Allahyarham Harun Salim Bachik terkilan apabila kenyataannya terhadap pelawak Achey di media baru-baru ini telah menimbulkan pelbagai pandangan negatif terhadapnya.

Surianti Mohd Nor, 35, berkata, dia tidak pernah berniat untuk memburukkan Achey sebaliknya sekadar menyatakan perkara sebenar memandangkan bekas peserta program Bintang Mencari Bintang (BMB) itu pernah mengeluarkan kenyataan tentangnya di sebuah portal hiburan atas talian sebelum ini.

"Macam-macam tuduhan orang lemparkan kepada saya apabila saya memberikan kenyataan tentang Achey baru-baru ini sehingga ada yang kata saya cuba meraih simpati dan wang.

"Sejak arwah meninggal dunia saya tidak pernah meminta simpati atau bantuan kewangan daripada sesiapa pun dan menggunakan kudrat yang ada dengan menjalankan perniagaan online untuk menyara keluarga saya.

"Saya cuma memberitahu perkara yang betul dan bukannya berbohong tetapi nampaknya kenyataan saya itu telah dipandang negatif oleh sesetengah pihak," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di kediamannya di Pandan Perdana di sini, Jumaat.

SILA KLIK: Hidup Terhimpit, Balu Harun Salim Bachik Terpaksa Balik Kampung
Freddie turut hadir memberikan sokongan ketika pertemuan yang diadakan di kediamannya di Pandan Perdana pada Jumaat.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez turut hadir pada pertemuaan itu.

Sebelum ini menerusi artikel mStar Online, Surianti meluahkan perasaan terkilan dan berasa dipinggirkan selepas pemergian Harun pada 8 Mac lalu.

Tambahnya, kenyataan pelawak yang juga anak didik arwah iaitu Achey dalam sebuah portal hiburan atas talian yang kononnya sering bertanya khabar keluarga mereka juga tidak benar.

Achey bagaimanapun dalam kenyataan balasnya menjelaskan terdapat salah faham mengenai perkara tersebut kerana pertanyaan khabar itu sebenarnya diajukan kepada anak sulung bekas isteri pertama Harun dan bukannya melalui Surianti.

Dalam pada itu, Surianti berkata, dia kesal dengan sikap Achey yang seolah-olah langsung tidak mengenalinya biarpun hakikatnya hubungan mereka akrab sebelum ini.
Surianti bersama dua anaknya akan berpindah ke Kulim, Kedah pada Isnin ini.
"Jika benar dia ingin bertanya khabar tentang saya dan anak-anak mengapa perlu menerusi pihak lain sedangkan hubungan kami sebelum ini sangat baik malah anak-anak juga rapat dengannya.

"Jadi apabila wartawan bertanya benar atau tidak dia ada bertanya khabar saya jawab tidak kerana pertanyaan itu tidak dibuat secara langsung kepada saya atau anak-anak," jelasnya.

Mengulas mengenai isu dia membangkitkan status perniagaan arwah suaminya yang dikongsi bersama Achey, Surianti mengakui dia tidak terlibat dalam sebarang urusan perniagaan tersebut.

Bagaimanapun kata Surianti, dia bersuara kerana ingin mengetahui situasi sebenar memandangkan Allahyarham ada membuat pelaburan dalam perniagaan tersebut selain ingin menuntut hak anak-anaknya.

"Seperti kenyataan dia sebelum ini dia sudah serah semua share perniagan yang dikongsi kepada keluarga, saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu malah dikeluarkan daripada grup perniagaan berkenaan.
Harun dan Surianti berkahwin pada tahun 2000.
"Sepatutnya sebarang keputusan dimaklum kepada saya kerana saya balu arwah dan saya bersuara pun bukan kerana kepentingan diri sendiri tetapi untuk menegakkan hak anak-anak kami," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Surianti berkata, dia kesal apabila statusnya sebagai isteri Harun turut dipertikaikan apabila mengatakan dia isteri kedua arwah.

Jelas Surianti, dia adalah satu-satunya isteri Harun sejak 15 tahun lalu dan tidak pernah menjadi isteri kedua seperti mana didakwa sebelum ini.

"Semasa saya berkahwin dengan arwah dia sudah menduda selama lima tahun dan tiada istilah saya isteri kedua atau perampas. Pandangan negatif seperti itu benar-benar memberi kesan negatif kepada saya," katanya.

Surianti berkahwin dengan Allahyarham Harun Salim Bachik pada tahun 22 Mei 2000. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Hazeera Sofea, 12, Hakeem Sufy Al-Rashid, 14.
Surianti tidak pernah bersikap meminta-minta sejak kematian suaminya.
Menerusi perkahwinan pertama dengan Martinah Ahmad, Harun memiliki empat orang anak namun perkahwinan pertama itu tidak bertahan lama.

Dalam perkembangan sama, Surianti berkata, dia bersama dua anak-anaknya nekad untuk berpindah ke kampung halamannya di Kulim, Kedah bagi memulakan kehidupan baharu di sana.

Dia mungkin akan kembali menetap di Kuala Lumpur pada masa hadapan namun hanya selepas kehidupannya kembali stabil.

"Sebenarnya anak-anak berat untuk berpindah kerana kehidupan dan rakan-rakan mereka semuanya di sini tetapi memandangkan kos sara hidup yang agak tinggi keputusan perlu dibuat.

"Alhamdulillah mereka bersetuju untuk memulakan kehidupan baharu di Kedah dan Insya-Allah kami akan berpindah pada Isnin depan," katanya.

Sementara itu, Freedie berkata, kehadiran Karyawan pada perjumpaan tersebut untuk memberi dorongan dan sokongan kepada keluarga Allahyarham.

Kata Freddie, pihaknya akan membantu Surianti bagi mendapatkan tapak perniagaan pada karnival melibatkan selebriti pada masa hadapan selain akan berusaha mendapatkan sebuah rumah sekiranya wanita berkenaan ingin kembali menetap di Kuala Lumpur pada masa hadapan.

"Karyawan sentiasa memberi sokongan kepada mereka sekeluarga terutamanya dalam kebajikan kedua-dua anak dan Karyawan akan sedaya upaya membantu Surianti mendapatkan tapak perniagaan di mana-mana karnival seperti mana diharapkan dalam mengembangkan perniagaan produk kesihatannya," katanya.
0 Komentar untuk "Balu Harun Salim Bachik Kesal Dipandang Negatif Masyarakat"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI