PAS Pulau Pinang usaha pulihkan hubungan dengan DAP dalam kes Iszuree - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PAS Pulau Pinang usaha pulihkan hubungan dengan DAP dalam kes Iszuree

Iszuree Ibrahim (tengah) disingkir daripada semua jawatan yang disandangnya dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang, kerana tindakannya mengkritik kerajaan negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Oktober, 2014.
Bagi mengukuhkan kembali hubungan, PAS Pulau Pinang mengambil tanggungjawab penuh terhadap Iszuree Ibrahim, ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) yang disingkir daripada semua jawatan yang disandangnya dalam Jawatankuasa Tetap MPPP, kerana tindakannya mengkritik kerajaan negeri.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata parti bertanggungjawab atas kritikan yang dibuat Bendahari PAS negeri itu pada muktamar tahunan di Johor bulan lalu dan bersedia menjernihkan keadaan.

"Kami ingin lahirkan rasa kesal atas salah faham yang tercetus dari kenyataannya.



"Kami minta isu ini diselesaikan secara baik oleh semua pihak bagi memastikan agenda kita dapat diteruskan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam satu sidang media di pejabat PAS di Tasek Gelugor hari ini.
Beliau mengakui kenyataan Iszuree mengundang salah faham.

Iszuree, bercakap sebagai perwakilan semasa muktamar, menuduh kerajaan Pulau Pinang lebih "pro-pemaju" seperti kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini daripada mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau yang juga ketua whip PAS dalam MPPP dan ketua biro tanah PAS negeri, lantang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu pembangunan, warisan budaya dan masalah pengusiran yang dihadapi penduduk.

Mujahid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata parti itu sudah mengadakan pertemuan bersama ketua menteri Lim Guan Eng mengenai Iszuree minggu lalu.

Katanya, Lim mendengar penjelasan mereka mengenai ucapan Iszuree di Muktamar PAS.

Iszuree, yang tidak turut serta dalam pertemuan itu, sebelum ini mendakwa kenyataan beliau mengenai pembangunan Pulau Pinang sudah disalahtafsir.

"Kadangkala ia bukan tentang apa yang kita katakan, tetapi bagaimana kita mengatakannya, dengan niat yang baik," kata Mujahid.

Beliau berkata beberapa kompromi dibuat semasa pertemuan bersama Lim tetapi ia bukan hanya tentang Iszuree atau membatalkan penggantungannya daripada jawatankuasa perancangan, kewangan dan kesihatan awam MPPP, atau pembekuan peruntukannya.

Katanya, yang paling penting dan lebih utama ialah tentang hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi tegang ekoran isu di Selangor dan Pulau Pinang.

"Ia untuk memastikan keadaan kembali kepada sedia kala, memperbaiki hubungan dan penyatuan dalam PR," katanya.

Mujahid berkata sehari selepas pertemuan dengan Lim, PAS Pulau Pinang mengadakan mesyuarat berhubung isu itu dan satu konsensus dicapai walaupun ahli mempunyai pandangan yang berbeza.

"Kami bersetuju isu pembangunan di sini diuruskan kerajaan negeri walaupun masih terdapat ruang penambahbaikan. PAS sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menambah keberkesanannya.

"Kami juga sedar yang sejak 2009, tidak pernah diadakan mesyuarat Majlis Pimpinan PR Pulau Pinang. Ini menyebabkan masalah pentadbiran, rakyat dan parti terbiar tanpa dibincangkan. Adalah lebih baik jika pemimpin PR dapat bertemu setiap dua atau tiga bulan sekali.

"Kami berasakan dalam isu Iszuree, adalah wajar untuk kami mengambil tanggungjawab penuh berhubung apa yang dibangkitkannya dan bersedia memperbetulkan keadaan," katanya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga mengambil maklum persepsi umum terhadap PAS dan PR berhubung isu ini.

Katanya, tidak boleh dinafikan terdapat masalah tetapi PR mesti kekal utuh kerana Iszuree hanyalah individu yang datang dan pergi.

"Saya lebih bimbangkan hubungan PR dan parti," katanya.

Iszuree sudah menjelaskan pendiriannya kepada parti dan sementara PAS Pulau Pinang tiada kuasa mengambil tindakan disiplin terhadapnya, dia diingatkan tidak lagi mengeluarkan kenyataan mengenai isu ini.

Mujahid juga berkata persoalan untuk melantik pengganti Iszuree sebagai ahli majlis dari PAS tidak timbul.

"Beliau hanya digantung. Ia tidak perlu diganti. Isu itu tidak timbul," katanya.

Beliau berkata PAS akan membincangkan isu pembangunan tanah Pulau Pinang dalam mesyuarat majlis PR negeri. – 6 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-pulau-pinang-usaha-pulihkan-hubungan-dengan-dap-dalam-kes-iszuree#sthash.m2fWX1BB.dpuf
0 Komentar untuk "PAS Pulau Pinang usaha pulihkan hubungan dengan DAP dalam kes Iszuree"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI