Konspirasi antarabangsa jatuhkan Hadi, Ulama mengarut, kata pemimpin PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Konspirasi antarabangsa jatuhkan Hadi, Ulama mengarut, kata pemimpin PAS

AJK PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin (gambar) dan Khalid Samad kedua-duanya menyangkal teori Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tentang konspirasi antarabangsa terhadap PAS. – Gambar fail The Malaysian Insider, 6 Oktober, 2014.
Dakwaan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengatakan wujud konspirasi antarabangsa untuk menjatuhkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama disangkal hari ini oleh dua rakan sejawatnya yang mengatakan ia mengarut dan tidak berasas.

Bagaimanapun, seorang pemimpin Majlis Syura mengatakan gerakan untuk menekan kebangkitan Islam memang wujud di peringkat antarabangsa, dan PAS sebagai salah satu pertubuhan Islam tidak terlepas dari menjadi sasaran.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin ketika dihubungi The Malaysian Insider, menepis dakwaan rakan sejawatnya Nik Abduh, dan menganggapnya sebagai pandangan peribadi semata-mata.



"Bagi saya itu teori mengarut. Tidak ada konspirasi. Adakah dengan melantik Hadi sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia juga merupakan satu konspirasi antarabangsa?" kata ahli Parlimen Sepang itu.
Katanya, walaupun pihaknya mengakui sayap ulama parti itu sering menerima "serangan" dan kritikan sejak kebelakangan ini, itu tidak bermakna ia didalangi negara luar untuk menjatuhkan parti Islam itu dan negara Malaysia.

"Saya rasa kuasa besar dunia pun ada banyak benda lain hendak fikir daripada (rancang) konspirasi," katanya.

Nik Abduh dalam artikelnya "Islam tanpa syariat" yang disiarkan Harakahdaily semalam mendakwa kuasa besar dunia yang berjaya menjatuhkan negara Islam di Timur Tengah seperti di Syria dan Mesir kini mula mensasarkan serangannya di Malaysia.

Katanya, prinsip PAS yang konsisten berjuang menegakkan agama di dalam negara merimaskan musuh Islam antarabangsa.

Keadaan itu katanya menyebabkan PAS diserang, bermula dengan melemahkan pimpinan utama, sekaligus tidak mahu PAS menjadi parti yang kuat dan mendominasi Pakatan Rakyat (PR).

"Jika anda bertanya, adakah gerakan menjatuhkan Hadi dan memperlekeh Majlis Syura Ulama PAS adalah projek konspirasi musuh Islam antarabangsa? Saya jawab, ya," kata anak Mursyidul Am PAS itu.

Pendapat Hanipa itu turut disokong seorang lagi AJK PAS Pusat, Khalid Samad yang menganggap Nik Abduh membuat andaian tanpa asas kukuh.

Katanya, situasi konflik di negara Timur Tengah tidak boleh diramalkan akan sama terjadi di Malaysia

"Kena ada asas untuk buat andaian. Asas dia apa? Kalau kata usaha hendak jatuhkan ulama (PAS), siapa yang nak jatuhkan?" kata ahli Parlimen Shah Alam itu.

Khalid berkata, teguran yang dibuat ahli PAS dan pihak luar terhadap Majlis Syura tidak bererti mahu menjatuhkan badan tertinggi PAS itu.

"Kepimpinan ulama dijamin dalam perlembagaan (parti), tetapi janganlah komen dan beri pandangan ada usaha nak jatuhkan... ini dah terlalu melampau," katanya.

Katanya, teguran terhadap Majlis Syura merupakan perkara biasa sejak kepimpinan dahulu.

Bagaimanapun, Setiausaha Majlis Syura Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh tidak menafikan wujudnya gerakan antarabangsa yang didalangi kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Britain untuk menjatuhkan kepimpinan ulama secara global.

"Ya, memang salah satu daripada sasaran adalah PAS. Itu tidak boleh dinafikan. Mana-mana negara yang ada kebangkitan Islam dilihat sebagai ancaman oleh kuasa besar," katanya.

Katanya, mereka memulakan serangan ideologi dengan cuba mengasingkan isu ekonomi dan politik daripada dikaitkan dengan agama sehingga ada sesetengah alim ulama dan pemimpin agama termakan dengan agenda itu.

"Sesetengah alim ulama, bila jadi mufti, dia tidak berani bercakap benda yang benar," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengaitkan konspirasi itu dengan cubaan melemahkan kedudukan dalam PR, seperti yang didakwa Nik Abduh.

"Itu pandangan dia. Dia mungkin sedar perkara itu terjadi maka dia kena buktikan sendiri," katanya. – 6 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/konspirasi-antarabangsa-jatuhkan-hadi-ulama-mengarut-kata-pemimpin-pas#sthash.To4tOpsO.dpuf
0 Komentar untuk "Konspirasi antarabangsa jatuhkan Hadi, Ulama mengarut, kata pemimpin PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI