Oktoberfest laluan sukar tahaluf siyasi PR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Oktoberfest laluan sukar tahaluf siyasi PR

ANALISIS: Pesta arak atau Oktoberfest yang disambut saban tahun di seluruh dunia bermula akhir September hingga awal Oktober bertukar menjadi senjata politik tatkala Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu.

Adakah polemik ini tidak disengajakan memandangkan isu politik di Selangor ketika itu baru sahaja selesai dengan pelantikan Azmin dan barisan Exco Selangor yang baharu?

Tidak kurang pula yang menuding jari kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan empat Exco Pas sebelum Azmin mengambil alih tampuk pemerintahan 'kerajaan bebas' itu yang didakwa bertanggungjawab meluluskannya sedangkan ia tidak pernah dibawa ke mesyuarat Exco.

Episod tuduh-menuduh nampaknya tidak menyelesaikan masalah itu yang sebenarnya dihalalkan setiap tahun secara tertutup dan Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah dalam satu kenyataan sebelum ini menyifatkan permit hiburan itu 'bukan perkara baharu'.

Persoalan itu hanya timbul apabila Azmin mula berkuasa di Selangor sedangkan pihak penganjur sebelum ini dikatakan tidak pernah memohon permit hiburan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menganjur pesta arak itu di tempat awam yang terbuka.

Kebetulan atau sengaja diaturkan untuk menguji pentadbiran Azmin, sehingga kini keadaan itu masih samar-samar.

Oktoberfest yang bermula sejak 24 September lalu di beberapa lokasi di Saujana Hotel Subang dan Berjaya Times Square dan kemuncaknya pada 10 hingga 12 Oktober lalu turut mendapat bantahan daripada sesetengah pemimpin Pas.

Namun kelantangan Pas termasuk Dewan Ulamanya terhadap pesta arak nampaknya seolah-olah tidak mendapat sambutan dan tidak diendahkan Kerajaan Negeri Selangor apabila upacara kemuncaknya telah disertai oleh beberapa Exco Selangor dan pemimpin PR bukan Islam.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik ke dalam Facebook menunjukkan pemimpin PR seperti Elizabeth Wong, Ean Yong, Teresa Kok, Datuk Teng Chang Khim, Gobind Singh Deo, Lim Kit Siang, Wong Chen dan Tony Pua secara terang-terangan menunjukkan sokongan mereka kepada penganjur yang tetap meneruskan pesta arak di pusat beli-belah One Utama, Damansara Utama.

Biarpun diadakan secara tertutup namun tindakan memuat naik gambar itu untuk tatapan umum telah menimbulkan keresahan bukan sahaja kepada rakan komponen PR iaitu Pas bahkan ia mendapat kecaman daripada umat Islam khususnya di Selangor.

Maka tidak hairanlah jika ada tuduhan mengatakan permit hiburan itu telah diluluskan Azmin sendiri setelah Kerajaan Negeri Selangor pimpinannya beberapa kali menafikan perkara tersebut sebelum ini.

Apa pun insiden memalukan itu jelas kian merapuhkan hubungan parti komponen PR khususnya Pas yang berkira-kira mahu mempertimbangkan semula tahaluf siyasi atau kerjasama politik apabila hak mereka tidak dipedulikan, lebih-lebih lagi kuasa sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor yang diberikan kepada Adun Pas, Dr Ahmad Yunus Hairi bagaikan 'boneka' semata-mata.

Apa pun alasan Azmin, pesta arak Oktoberfest itu sudah pun berakhir pada 12 Oktober lepas dan isu yang menjentik sensitiviti umat Islam itu kini nampaknya berlalu begitu sahaja dan perhatian rakyat ini kini dialihkan kepada isu lain seperti Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin dipenjarakan semula jika pendengaran rayuan kes liwatnya di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini tidak memihak kepadanya.

Bagaikan retak menanti belah, begitulah situasi yang PKR dan DAP bakal berdepan apabila mereka tidak menghormati pendirian Pas dalam penganjuran pesta arak Oktoberfest di Petaling Jaya baru-baru ini.

Malah kedegilan pimpinan PKR dan DAP di Selangor itu juga secara tidak langsung akan merumitkan lagi tahaluf siyasi PR.
0 Komentar untuk "Oktoberfest laluan sukar tahaluf siyasi PR"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI