Azmin perlu pimpin PKR, satukan Pakatan tanpa Anwar, kata penganalisis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Azmin perlu pimpin PKR, satukan Pakatan tanpa Anwar, kata penganalisis

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dilihat oleh pemerhati politik perlu memikul tanggungjawab sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan kerana kes Liwat II. – Gambar fail The Malaysian Insider, 19 Oktober, 2014.

Dengan nasib Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan minggu depan, para pemerhati politik berpendapat partinya PKR perlu memikirkan masa depan mereka tanpa Anwar.

Begitulah seharusnya tindakan Mohamed Azmin Ali selaku timbalan presiden PKR yang juga menteri besar Selangor, beliau harus memikul tanggungjawab itu jika mahkamah memenjarakan Anwar kerana liwat.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, parti perlu bersiap sedia mental dan fizikal untuk menghadapi hukuman yang tidak disenangi mereka dengan memberikan fokus kepada pembinaan kepimpinan.



"Jadi saya rasa bukan setakat perjuangan perlu diteruskan, tetapi pengkaderan pimpinan parti perlu dilipat-gandakan," katanya.
Anwar kini berdepan pusingan terakhir dalam perbicaraan kes Liwat II dan berkemungkinan  dipenjarakan berikutan rayuan peringkat akhir kes Liwat II beliau di mahkamah yang ditetapkan pada 28 dan 29 Oktober ini.

Menyentuh mengenai hubungan antara rakan parti dalam Pakatan, DAP dan PAS, Wan Saiful berkata peranan tersebut perlu dipikul oleh Azmin Ali.

"Masa depan PKR tanpa Anwar sebenarnya bergantung pada Azmin, beliau perlu jadi pemimpin bukan sekadar untuk PKR tetapi juga semua dalam Pakatan," kata beliau.

Wan Saiful menjelaskan hubungan baik Azmin dengan PAS dan sokongan yang diberikan DAP semasa kemelut menteri besar Selangor sebagai sandaran baik untuk Ahli Parlimen Gombak itu sebagai penghubung dalam Pakatan.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata Azmin perlu melakukan sedikit perubahan peribadi untuk memudahkan rakan parti mendekatinya.

"Azmin perlu jadi lebih mesra kerana ramai orang kata beliau sukar untuk didekati, tidak berapa fleksibel.

"Kalau boleh perbaiki itu, beliau boleh main peranan penting bukan sekadar dalam PKR tetapi Pakatan," katanya.

Pemuda PKR pula berkata Azmin mempunyai peranan yang besar dalam parti tanpa Anwar.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Radzlan Jalaludin berkata mereka akan mengambil langkah yang matang dan profesional sekiranya ditakdirkan Anwar dipenjara.

"Masa depan PKR tanpa Anwar terletak pada Azmin, beliau perlu ambil tanggungjawab untuk memimpin parti dan kami akan mengambil langkah matang dan profesional," katanya.

Profesor James Chin dari Universiti Monash bagaimanapun mempunyai fikiran yang berbeza.

Katanya dari segi pengaruh politik, dia menyebelahi Azmin jika Anwar ke penjara, tetapi halangan masih ada kerana isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail masih presiden PKR.

"Azmin akan mendapat untung secara politik jika Anwar ke penjara, tetapi beliau tidak boleh melangkaui Anwar kerana isterinya masih presiden parti," katanya. – 19 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/azmin-perlu-pimpin-pkr-satukan-pakatan-tanpa-anwar-kata-penganalisis#sthash.aO8rQpig.dpuf
0 Komentar untuk "Azmin perlu pimpin PKR, satukan Pakatan tanpa Anwar, kata penganalisis"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI