Harga petrol RON95, diesel naik 20 sen 2 Okt - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Harga petrol RON95, diesel naik 20 sen 2 Okt

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Dengan ini harga runcit baharu bagi petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.

KPDNKK berkata pemberian subsidi perlu lebih bersasar dan tidak secara pukal, dengan bukan warganegara Malaysia, termasuk pelancong asing, turut menikmati subsidi yang diberikan kerajaan.

Langkah ini juga dapat menghasilkan penjimatan yang setimpal dan boleh digunakan untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, sistem pengangkutan awam yang lebih meluas dan cekap serta meningkatkan keselamatan negara.

Kata KPDNKK kerajaan sedar bahawa langkah rasionalisasi subsidi ini akan memberi kesan kepada ekonomi dan masyarakat.

Oleh itu, kerajaan akan terus menyediakan pelbagai bantuan dan insentif untuk meringankan beban, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara langkah yang akan diambil kerajaan ialah menaikkan kadar pemberian BR1M yang akan diumumkan dalam Bajet 2015 kelak.

Langkah-langkah lain yang turut dipertimbang kerajaan dalam Bajet 2015 termasuk meneruskan bantuan persekolahan, subsidi harga rumah serta insentif percukaian.

Kerajaan juga akan memastikan barangan keperluan harian dijual pada harga berpatutan dan mengambil tindakan tegas ke atas golongan yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

Selain itu, langkah rasionalisasi subsidi akan dilaksanakan dengan berhati-hati dan berperingkat-peringkat bagi memastikan kesan minimum kepada ekonomi dan tidak membebankan rakyat, terutama golongan pendapatan rendah dan sederhana.

Menurut KPDNKK, langkah rasionalisasi subsidi ini adalah bagi memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan terus kukuh dan berada pada kedudukan
yang tepat.

Ia juga bagi mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat-peringkat daripada 3.9 peratus daripada KDNK pada 2013 kepada 3.0 peratus pada 2015 dan seterusnya mencapai sasaran bajet berimbang pada 2020.

Rasionalisasi subsidi ini juga adalah sebahagian daripada usaha mentransformasi ekonomi negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Kerajaan yakin langkah ini akan mengukuhkan lagi asas kewangan dan ekonomi negara bagi menghadapi cabaran ekonomi global serta memastikan kemakmuran negara. - Bernama
0 Komentar untuk "Harga petrol RON95, diesel naik 20 sen 2 Okt"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI