Oleh Ahmad Faris
PADA tahun 1980-an dan 90-an, gerakan Islamic Representative Council (IRC) yang ditubuhkan di United Kingdom (UK) dihancur lumatkan oleh Pas di kampus dan peringkat Pusat parti itu di tanah air.
Selepas beberapa pemimpinnya kembali, IRC didaftarkan sebagai Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang ketika itu mengaku non-partisan dan tidak politikal sama seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), pesaing terdekat mereka.
Anggota dan pemimpin JIM waktu itu bebas mengutarakan komen, keluar masuk dalam akhbar arus perdana (mainstream) dan pembangkang atas tiket pertubuhan.
Mengimbas kembali sedikit rentetan latar belakang JIM, tidak menghairankan dalam kalangan sekutu pakatan pembangkang khususnya Pas.
Parti itu sudah banyak berbeza pada hari ini andai dibandingkan dengan zaman silamnya.
Bukan sesuatu yang ganjil lagi bila mana ada pemimpin muda Pas sudah berani, tanpa berselindung, membidas barisan ulama mereka secara terbuka.
Contohnya dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu, apabila orang dalam parti itu menempelak Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyuarakan sokongan terbuka supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan.
Pada 28 September lalu, dalam satu wacana anjuran LENSA (Lensa Anak Muda Malaysia) di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib yang sambil mengakui label ‘broker,' ‘barua,' ‘dicuri' dan ‘dibeli' yang dilemparkan oleh Abdul Hadi dalam ucapan penggulungan muktamar parti di Batu Pahat, Johor sebagai kesat, tidak menolak mahu menyaman pemimpin tertinggi parti itu.
"Walaupun ramai rakan pimpinan menyatakan benda ini tidak akan selesai sehinggalah menghantar (saman) membersihkan melalui proses mahkamah.
"(Cuma) Saya tidak menutup pilihan tersebut, tetapi saya menganggap satu perkara yang perlu saya buat pada masa ini," katanya.
Satu kelemahan ketara Pas ialah apabila ramai yang mengambil kesempatan atas sikap terbuka dan bersangka baik para pemimpin daripada golongan ulama parti itu - dari Dewan Ulama dan Majlis Syura.
Dalam kalangan ahli dan penyokong Pas sendiri juga ada silapnya.
Budaya terlalu mudah kagum dan ‘jatuh hati' pada individu yang pandai bercakap dan ‘berpersonaliti hebat' mudah mengambil tempat dalam Pas.
Ini sangat dekat dengan sifat tin kosong gerakan Pas yang hanya sibuk berceramah ke sana ke sini, memburuk-burukkan lawan tanpa menghasilkan apa-apa yang berguna untuk negara.
Meskipun ada dalam kalangan pemimpin Pas menyedari bahaya kewujudan jemaah dalam jemaah (JIM dalam Pas) ini seperti diluahkan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob terhadap penubuhan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) oleh orang Pas sendiri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, apakah gejala ini boleh dikekang?
JIM, dan kini melalui LENSA, dan terbaharu, PASMA, menyebabkan barisan pemimpin ulama dalam Pas pening kepala dan angkat bendera putih.
JIM sudah berakar umbi. Bukan sahaja dalam Pas tetapi juga Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahmad Yakob tidak mahu ahli dan penyokong Pas berpecah-belah.
Hanya satu parti Pas tetapi Phahrolrazi, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah enggan membubarkan PASMA.
Bahkan beliau mahu menyasarkan keanggotaan PASMA sehingga sejuta orang.
Senario ini mengimbas kembali sejarah bagaimana Pas sendiri menolak kemunculan JIM.
Pertentangan pemimpin JIM dengan pemimpin Pas dalam parti itu juga merupakan pertembungan lama.
Semasa mereka belajar di peringkat universiti lagi.
Dan tidak hairanlah berlaku pertembungan antara Mujahid dan beberapa individu yang pernah menganggotai Dewan Ulama Pas Pusat dan mereka yang proulama.
Ke mana perginya pemimpin-pemimpin JIM sebelum 1998?
Ahli dan penyokong Pas boleh semak sendiri termasuk melalui carian Google di mana mereka sekarang.
Mungkin duduk bersebelahan dan kini berdepan dengan anda sekarang.
Belum pernah terjadi penentangan keras secara terbuka dalam kalangan ahli Pas sendiri terhadap kepimpinan ulama parti itu.
Apakah agaknya nasib ulama Pas selepas era Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi, Haron Din atau Ahmad Yakob?
Abdul Hadi sendiri pastinya menyedari penangan dan sepak terajang JIM.
Apakah ‘penguasaan' JIM dalam Pas masih boleh dikekang?
Apakah pertembungan keras individu-individu JIM terhadap golongan ulama yang dihormati ramai ahli Pas dan menjadi simbol perjuangan Islam Pas, boleh dihalakan ke kiri atau kanan, bukan berdepan.
Atau mungkinkah akan ada pihak yang ‘menghukum' dalam mesyuarat agung cawangan dan kawasan Pas pada Mac dan April menjelang pemilihan peringkat Pusat yang dijadual pertengahan tahun depan.
..........
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa
DATUK AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa
0 Komentar untuk "Dominasi JIM dalam Pas?"