PUTRAJAYA - Pihak polis digesa perlu menunjukkan sikap bertolak ansur terhadap peserta dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sama seperti layanan yang diberikan kepada NGO Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa) dan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Ketua Umum PKR itu menegaskan pihak polis dan mana-mana pihak tidak sepatutnya menimbulkan provokasi terhadap penyokongnya yang hadir di sepanjang perbicaraan rayuan kes liwat II yang kini sudah memasuki hari kedua.
"Jangan memprovokasi mereka, jangan buli mereka, tetapi benarkan mereka (berhimpun), jangan lakukan kekerasan yang tidak sepatutnya terhadap mereka.
"Jadilah toleran kepada mereka (penyokong) sebagaimana mereka (polis) toleran terhadap Perkasa dan Isma, itu saja saya minta," katanya kepada pemberita selepas melangkah keluar dari bilik bicara Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas keadaan di luar pekarangan mahkamah yang menjadi tegang apabila penyokong Anwar didakwa telah bertindak membaling telur kepada pasukan polis yang mengawal pagar sekatan di situ.
Telur berkenaan juga turut mengenai salah seorang petugas media yang sedang bertugas.
Insiden itu berlaku selepas penyokong Anwar beralih ke bawah khemah di hadapan mahkamah kerana hujan lebat setelah mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Mengulas lanjut, Anwar menambah, jika didapati penyokong bertindak di luar batasan, beliau tidak menghalang daripada mereka yang terlibat diambil tindakan tegas.
"Kita akan ambil tindakan terhadap orang kita sendiri jika mereka benar-benar melakukan salah laku itu," katanya lagi. - SH
0 Komentar untuk "Baling telur: Polis kena tolak ansur, kata Anwar"