Oleh Khalid Samad
Ada yang menegur saya dengan mengatakanpendirian saya berhubung Oktoberfest adalah pendirian ‘Islam Liberal’. Saya agak terkejut atas teguran ini dan ianya adalah bukti bahawa yang menegur saya tidak memahami apa yang dikatakannya sendiri. Oleh kerana kelihatan agak ramai yang tidak faham, maka saya ingin perjelaskan di sini apa itu sikap Islam Liberal berhubung arak.
SIKAP ISLAM LIBERAL BERHUBUNG ARAK
Islam Liberal menganggap bahawa arak itu haram atas sebab ianya memabukkan. Oleh itu dirasionalkan bahawa kemabukan adalah masalah sebenar dan bukan arak itu sendiri. Maka dirumuskan seterusnya bahawa sekiranya tidak mabuk maka ianya tidak haram. Oleh itu dikatakan meminum arak itu halal bagi ummat Islam sendiri selagi tidak mabuk. Kalau bagi orang Islam dianggap halal selagi tidak mabuk, sudah pasti mereka lebih Liberal terhadap yang bukan Islam. Itu pendirian Islam Liberal.
SIKAP ISLAM EKSTRIMIS/CHAUVANIS BERHUBUNG ARAK
Pada masa yang sama ada juga sikap Islam ekstrimis/chauvanis. Islam ekstrimis/chauvanis menganggap arak itu haram bagi ummat Islam dan oleh kerana ianya haram bagi ummat Islam, maka bukan Islam pun tidak boleh minum arak kerana perlu hormat kepada orang Islam. Maka Islam ekstrimis/chauvanis menganggap arak itu haram untuk orang Islam dan oleh itu maka juga haram bagi orang bukan Islam. Mereka menjustifikasi pendirian mereka atas hujjah sekiranya ianya dibenarkan maka Allah akan turunkan bala ke atas masyarakat keseluruhannya. Maka atas hujjah umum sebegitu hak bukan Islam disekat dan orang bukan Islam ditindas.
Bagi golongan ini persoalan hak dan sebagainya tidak merupakan persoalan utama. ‘Hak’ mengikut mereka adalah ciptaan barat. Mereka tidak memahami bahawa tindak tanduk mereka menjadi faktor penghalang masyarakat bukan Islam dan sebahagian orang Islam sendiri menolak Islam. Soal ‘bil hikmah’, ‘jaadilhum allati hiya ahsan’ dan sebagainya adalah tidak lagi releven. Yang penting adalah ketundukan manusia kepada Islam samada secara rela atau paksa!
Maka akhirnya isunya berubah dari soal hak meminum arak bagi yang bukan Islam kepada ‘kekuasaan Islam’ yang semua perlu tunduk padanya. Apabila dilihat dari sudut ini maka akan tercetus perbalahan di antara yang Islam dan bukan Islam kerana masing-masing ingin mempertahankan hak dan kekuasaan masing-masing. Suasana sebeginilah yang merupakan suasana yang subur untuk munculnya golongan seperti ISIS dan ISIL. Inilah sikap Islam ekstrimis/chauvanis.
SIKAP ISLAM BERHUBUNG ARAK
Apa pula pendirian Islam yang sebenar? Pendirian Islam adalah arak itu haram bagi ummat Islam. Hukum bagi yang bukan Islam pula adalah berdasarkan ajaran agama mereka. Sekiranya ianya haram mengikut ajaran agama mereka maka ianya haram ke atas mereka dan ketua-ketua agama mereka hendaklah bersuara mendorong penganut agama mereka supaya menjauhkan diri mereka dari meminum arak. Mungkin ianya boleh dikuat-kuasakan dengan kerjasama kerajaan seperti mana dengan ummat Islam. Samada ianya haram atau tidak mengikut ajaran agama mereka perlulah ditetapkan oleh ketua agama mereka, BUKAN ditetapkan oleh orang Islam.
Sekiranya ianya tidak haram mengikut agama mereka maka mereka dibenarkan meminum arak, lebih-lebih lagi sekiranya ianya dilakukan secara tertutup dan peribadi. Sekiranya ianya ingin dilakukan melalui sesuatu majlis, samada dalam perayaan keagamaan atau kebudayaan, maka mereka hendaklah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa dan mengikut apa jua syarat yang ingin dikenakan oleh pihak berkuasa. Syarat yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mencerminkan waqi’ masyarakat dan persekitaraan di mana majlis tersebut ingin diadakan.
Syarat yang dikenakan akan mengambil kira waqi’ masyarakat dan persekitarannya. Dalam persoalan ini perlu saya jelaskan bahawa suasana masyarakat Kelantan jauh berbeza dengan suasana di Selangor. Maka syarat yang dikenakan di Kelantan akan pasti berbeza dengan syarat yang dikenakan di Selangor. Di sini terletaknya ‘keanjalan’ Islam. Syarat ini merupakan persoalan ‘ijtihadiyyah’ dan oleh itu boleh berbeza dari satu tempat ke satu tempat mengambil kira keadaan dan kebiasaan.
Ada yang menghantar kepada saya tulisan berhubung beberapa fatwa yang pernah dikeluarkan mengikut Mazhab berhubung syarat yang dikenakan ke atas masyarakat bukan Islam menjual dan meminum arak pada ketika itu. Mungkin mereka yang menghantar maklumat ini kepada saya tidak sedar bahawa waqi’ masyarakat Selangor sekarang ini juah berbeza dengan waqi’ masyarakat pada zaman kerajaan Abasiyyah. Oleh itu ijtihad yang dibuat oleh ulama’ pada ketika itu dalam soal syarat yang perlu dikenakan ke atas masyarakat bukan Islam dalam soal meminum arak adalah sesuai dengan realiti atau waqi’ masyarakat masa itu.
Sebagai gerakan Islam, cabaran yang dihadapi PAS adalah untuk mempengaruhi waqi’ dan kefahaman masyarakat sehingga arak dilihat sebagai sesuatu yang mampu merosakkan masyarakat. Ini diusahakan melalui kerja dakwah dan penerangan. Apabila waqi’ masyarakat berubah sehingga meminum arak dianggap sesuatu amalan yang negatif, maka syarat yang akan dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan semakin ketat dan sukar dengan persetujuan semua pihak. Ini samalah dengan persoalan merokok dan proses pengawalan amalan merokok yang semakin ketat. Pokoknya ini semua perlu berlaku melalui proses ‘persuasion’ iaitu pujukan/penghujjahan dan bukan ‘coercion’ atau paksaan.
Pada masa sama kita bertanggung jawab untuk menyakinkan yang bukan Islam akan jaminan keadilan Islam terhadap mereka bahawa hak mereka tidak akan dicerobohi. Jangan sekali-kali diberikan gambaran bahawa Islam ingin menundukkan mereka tetapi sebaliknya membela dan melindungi mereka. Ini termasuk hak mereka untuk mengikuti ajaran agama mereka dan apa yang dianggap halal dan haram bagi mereka mengikut agama mereka.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
0 Komentar untuk "Arak: Pendirian Islam Liberal?"