Rafizi Cover Diri - PR bergolak sebelum Langkah Kajang lagi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Rafizi Cover Diri - PR bergolak sebelum Langkah Kajang lagi

Oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK

SHAH ALAM – Pergolakan parti-parti dalam PR terutamanya Pas dengan dua rakannya, PKR dan DAP telah berlaku sebelum PRU13 dan Langkah Kajang yang dilancarkan, awal tahun ini.

Mengakui wujudnya ketegangan dalam PR, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, konflik tersebut tidak perlu disembunyikan sebaliknya perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan ianya berlarutan.

“Memang ada ketegangan  hubungan terutama antara Pas dengan dua rakan iaitu PKR dan DAP. Saya rasa itu tidak perlu disembunyikan atau kita nafikan kerana rakyat jelas nampak.

“Pandangan saya yang mungkin agak berbeza dengan orang lain ialah, jika kita ada masalah, kita perlu berterus terang sesama kita dan juga dengan rakyat. Kerana hanya dengan cara itu, ada harapan untuk selesaikan.

“Kita tidak boleh cuba sembunyikan atau beranggapan bahawa masalah itu akan pergi dengan sendiri. Ia lebih wajar diketahui dan diselesaikan kerana hanya apabila ia diketahui, baru ada penyelesaian. Daripada disimpan dan mungkin akan berulang pada masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas soal ketegangan yang berlaku dalam PR itu, Rafizi mendakwa, Pas tidak menepati perjanjian yang dibuat dalam PR sehingga menimbulkan rasa kurang senang rakan-rakan sekutunya.

“Ada isu yang dari segi... ada beberapa perkara yang tidak... perselisihan faham, ada rasa tidak senang akibat daripada Pas meletakkan calon tiga penjuru di beberapa tempat yang tidak menepati perjanjian PR. Maknanya semua itu telah berlaku sebelum PRU13.

“Jadi, memang ada persoalan yang menguji dari segi kepatuhan kepada keputusan yang dicapai di peringkat PR, sebelum itu pun. Ada orang yang berpendapat bahawa Langkah Kajang ini telah menyebabkan perselisihan itu nampak kepada umum,” katanya.

Sehubungan itu, beliau beranggapan, permasalahan yang tidak diselesaikan itu bakal menjadi barah buat PR terutama apabila menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Sebab itu, saya berpendapat dan dari segi itu saya tegas dalam PKR dan PR, bahawa kalau kita rasa ada beberapa masalah yang perlu ditangani, masalah itu perlu ditangani sekarang, beberapa tahun sebelum PRU berlaku.

“Supaya apabila masalah itu diredakan ataupun selesai, kita boleh tumpukan kembali kepada isu-isu besar, isu-isu rakyat. Kerana akhirnya, apabila rakyat masuk mengundi, mereka akan membawa pertimbangan yang lebih besar iaitu kepada isu mereka yang diperjuangkan.

“Tetapi, kalau kita tidak menyelesaikan perbezaan pendapat itu dengan lebih awal, ia boleh berlarutan sehingga nak masuk PRU akan datang, itu yang akan menjadi risiko besar kepada PR. Kerana pada ketika itu, sentimen rakyat adalah kepada isu pada ketika itu,” katanya.

Perbezaan pendapat Pas dengan PKR dan DAP semakin jelas apabila krisis pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu mengambil tempat.

Pas terus menyatakan penolakan terhadap calon yang dipersetujui PKR dan DAP yang juga merupakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Percanggahan kenyataan demi kenyataan terus berlaku meskipun menteri besar yang baharu telah dilantik Sultan Selangor, SultanSharfuddin Idris Shah, pada Selasa.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menjadi sasaran PKR dan DAP termasuk mendesak agar beliau memohon maaf kepada Wan Azizah. - SInar Harian 
0 Komentar untuk "Rafizi Cover Diri - PR bergolak sebelum Langkah Kajang lagi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI