Teluk Intan, DAP & Hukum Islam : Milestone Politik Baru Malaysia - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Teluk Intan, DAP & Hukum Islam : Milestone Politik Baru Malaysia

DAP menerima tamparan yang hebat dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan, Perak. Calonnya Dyana Sofya gagal mempertahankan kemenangan DAP dengan kekalahan majoriti tipis, 238 undi. DAP mendapat peratus lebih rendah dalam pilihanraya kecil ini berbanding pilihanraya umum ke13 yang lalu bagi semua daerah mengundi yang terdiri majoriti masyarakat Cina. Beza peratus yang paling besar adalah daerah mengundi Sungai Suli (96.96% Pengundi Cina) dimana DAP merosot sebanyak 26% berbanding PRU 13. Daerah mengundi Pasir Bandamar Barat (98.05% Pengundi Cina) dimana DAP merosot sebanyak 15% berbanding PRU 13. DAP mengalami kemerosotan peratusan sokongan diantara 4% hingga 26% di saluran mengundi majoriti masyarakat Cina berbanding PRU 13.

DAP diberikan persepsi buruk oleh media Barisan Nasional sebagai anti Melayu dan anti Islam. Tetapi apa yang menarik ialah, peratusan sokongan pengundi Melayu meningkat sedikit di daerah mengundi majoriti Melayu. Bagi daerah mengundi Sungai Tungku(97.67% pengundi Melayu) dimana DAP berjaya mempertingkatkan peratus sokongan pengundi Melayu sebanyak 3% berbanding PRU 13. Daerah mengundi Sungai Selaba (97.06% pengundi Melayu) pula, DAP dapat mempertingkatkan peratusan sokongan sebanyak 2% berbanding PRU 13. Walaupun terdapat daerah mengundi majoriti Melayu dimana sokongan kepada DAP mengalami kemerosotan, tatapi menariknya terdapat peningkatan sokongan Melayu di antara 2% hingga 5% bagi sesetengah saluran mengundi. Ahli Parlimen Serdang YB Dr Ong Kiang Meng menyatakan bahawa sokongan masyarakat Cina merosot 15% dan sokongan masyarakat Melayu meningkat 3%.

Terdapat banyak faktor kemerosotan pengundi Cina di Teluk Intan ini.

Pertamanya, Teluk Intan adalah kawasan pendalaman maka peluang pekerjaan adalah terhad. Terdapat ramai pengundi muda Cina yang bekerja di luar Teluk Intan seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura. Hari sabtu sebagai hari pembuangan undi adalah hari bekerja mereka. Maka sebahagian mereka tidak dapat pulang mengundi dengan anggapan bahawa pilihanraya kecil tidak dapat banyak memberi kesan besar kepada politik nasional.

Keduanya, terdapat pengundi atas pagar DAP dalam PRU 13 yang lalu telah beralih kepada mengundi BN kali ini kerana janji-janji manis BN seperti membina lebuhraya, universiti dan jaminan jawatan menteri kepada calon BN. Mereka berpendapat inilah peluang terbaik untuk mereka mendapat pembangunan daripada BN. Mengundi BN tidak akan mengubah politik negara. Justeru, sokongan kepada BN dalam pilihanraya kecil kali ini hanyalah bersifat sementara sahaja. Mereka akan kembali menyokong DAP dalam pilihanraya umum ke14 atas semangat mahukan perubahan menyeluruh kearah Malaysia yang lebih adil.

Ketiga, faktor calon DAP. Terdapat sebahagian pimpinan tempatan DAP yang kurang bersetuju dengan calon yang dikemukakan. Buktinya, sebahagian mereka tidak hadir semasa penamaan calon. Pejabat mereka tidak aktif seperti diharapkan. Teluk Intan merupakan kawasan luar bandar yang masih terpengaruh dengan isu-isu perkauman. Sebahagian pengundi DAP lebih selesa memberi sokongan kepada calon BN daripada bangsa mereka. Calon BN pula adalah anak tempatan yang dikenali. Justeru, faktor ini telah menyumbang kepada kemerosotan sokongan DAP.

Faktor ke empat, pilihanraya kecil memberi banyak kelebihan kepada BN untuk memfokus semua kekuatan jenteranya. Perak diperintah oleh kerajaan BN. Menteri kerajaan persekutuan dan exco kerajaan negeri berkempen setiap hari. Disaat inilah wujud sebahagian rakyat yang terasa betapa BN benar-benar membela mereka.

Kelima, ketakutan pengundi cina terhadap isu hukum Islam. Saya tidak menolak hukum Islam sebagai faktor kekalahan tetapi saya tidak setuju jika dikatakan ianya sebagai faktor utama kekalahan DAP di Teluk Intan. Sebahagian pengundi Cina sememangnya termakan dengan propaganda media yang memburuk-burukan hukum Islam. Mereka mungkin tidak turun mengundi kerana mahu memberi isyarat kepada DAP.

Tidak banyak faktor mengapa DAP dapat meningkatkan sokongan Melayu. Faktor utamanya adalah calon Melayu yang ditampilkan. Apabila DAP meletakkan calon daripada kalangan orang Melayu maka wajah DAP sedikit telah berubah dikalangan orang Melayu. Mereka berubah daripada membenci DAP kepada memberi peluang kepada DAP. Bukan mudah untuk memecahkan persepsi buruk kepada DAP ini. Telah bertahun-tahun lamanya propaganda memburuk-burukkan DAP ini dibuat. Perubahan kecil dikalangan pengundi Melayu ini telah memberi sinar kepada DAP dan PR.

DAP boleh memperbaiki 4 faktor kekalahan di atas dalam pilihanraya akan datang kerana faktor-faktor itu berorientasikan pilihanraya kecil dan sebahagiannya dalam kawalan DAP sendiri. Tetapi DAP berdepan dengan masalah faktor kelima kekalahan iaitu isu hukum Islam kerana ia di bawah kawalan PAS, parti rakan dalam PR. PAS mustahil akan berundur daripada memperjuangkan isu hukum Islam kerana itu adalah tuntutan agama yang menjadi teras perjuangan PAS. Hukum Islam terdapat dalam Al-Quran. Setiap muslim wajib memperjuangkannya. Cuma PAS boleh berbincang terhadap kesesuaian dan persediaan semasa untuk melaksanakannya serta perkara-perkara berkaitan mutaghaiyirat (operasional) untuk menjayakannya yang tidak melunturkan substance hukum yang diwahyukan itu.

DAP boleh berusaha bersungguh-sungguh untuk menukar faktor hukum Islam daripada faktor kekalahan kepada faktor kemenangan. Sepertimana Dyana Sofya yang boleh menukar undi Melayu daripada membenci kepada memberi harapan kepada pengundi Melayu. DAP juga boleh menukar hukum Islam daripada faktor kekalahan kepada faktor kemenangan. Ini bukan mustahil kerana Dyana telah membuktikannya di Teluk Intan dengan kejayaan mengubah persepsi pengundi Melayu. Penukaran kedudukan faktor ini bukan sahaja memberi kebaikan kepada DAP malah akan memberi kebaikan kepada PR. DAP telah berada diparas maksimum kemenangan dalam PRU 13 yang lalu tetapi PR masih tidak mampu menguasai Putrajaya. Faktor utama yang menghalang calon-calon PAS menang adalah gambaran buruk DAP yang anti Islam dan anti Melayu. Jika pandangan DAP boleh dilunakkan terhadap hukum Islam berasaskan kepada semangat demokrasi maka perubahan persepsi masyarakat Melayu kepada DAP akan berlaku. Insya Allah.

Jika dibuat kiraan mudah, 5 faktor kekalahan telah menyebabkan kemerosotan DAP sebanyak 7, 551 (majoriti PRU 7,313 + majoriti PRK 238). Dengan andaian bahawa setiap faktor itu mempunyai pemberat yang sama maka setiap satu faktor menyumbang 1,510 kemerosotan undi. Jika DAP dapat menyelesaikan 4 daripada 5 faktor kekalahan maka DAP boleh menang dengan 25,959 undi. Majoriti kemenangan DAP adalah 5,802. Ini memberi maksud dengan penolakan masyarakat Cina terhadap hukum Islam pun sebenarnya sudah mampu memberikan kemenangan kepada DAP di Teluk Intan. Apatah lagi jika DAP mampu menukar isu hukum Islam daripada faktor kekalahan menjadi faktor kemenangan, maka kesannya adalah jauh lebih baik kepada PR. BN yang melakukan propaganda membenci hukum Islam dalam media berbahasa Manderin pun hanya dapat meningkatkan sokongan sebanyak 71 undi sahaja. Ini bermakna, walaupun hukum Islam menjadi faktor kemerosotan undi DAP, saya berpendapat bahawa ia bukanlah faktor yang utama berbanding faktor-faktor lain. Harapan kita, DAP bakal mendapat semangat baru selepas Teluk Intan.

SUHAIZAN KAIAT


Ketua Pemuda PAS Malaysia.

0 Komentar untuk "Teluk Intan, DAP & Hukum Islam : Milestone Politik Baru Malaysia"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI