PORT DICKSON - Rakyat di negara ini dinasihatkan agar tidak memanipulasi sebarang isu berkaitan agama dan kaum kerana dibimbangi boleh menjejaskan perpaduan.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berkata, sebarang komen mengenai isu berkenaan juga perlu dihentikan kerana ia adalah sensitif.

“Kita bimbang jika pelbagai kenyataan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab terus dikeluarkan, ia akan meracuni fikiran rakyat dan mengganggu gugat keharmonian serta perpaduan negara.

Sebarang kenyataan boleh menyakitkan hati lain-lain kaum,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang timbul selepas siasatan dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap majlis kahwin seorang wanita didakwa beragama Islam tetapi menggunakan adat Hindu, Ahad lalu.

Menurutnya, beliau yakin Jais segera menyelesaikan perkara ini dan meminta orang ramai beri ruang kepada pihak berkenaan menjalankan siasatan.

"Jais tak salah dalam melakukan tugas mereka tetapi mungkin tindakan penguatkuasanya tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard).

"Mungkin lebih baik selepas mendapat aduan, pegawai berkenaan terlebih dulu berjumpa dengan Persatuan Hindu Sangam sebelum masuk ke dalam kuil itu bagi menahan wanita berkenaan," katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga tidak setuju dengan cara Jais menyerbu majlis perkahwinan itu.

"Tetapi, saya yakin isu ini boleh diselesaikan, cuma bimbang dengan beberapa kenyataan orang ramai terutama di media sosial yang boleh memburukkan keadaan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-manipulasi-isu-agama-1.287828