KUALA LUMPUR - Mekanisme pengagihan zakat di negara ini didapati gagal membendung masalah kemiskinan dalam kalangan umat Islam walaupun jumlah kutipan zakat oleh pusat kutipan zakat dilaporkan meningkat setiap tahun.

Presiden Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina berkata, jumlah kutipan zakat yang besar jika diurus dengan baik sepatutnya mampu membebaskan umat Islam daripada masalah kemiskinan.
  
"Pihak yang bertanggungjawab perlu mengkaji semula dan memperbaiki sistem agihan zakat supaya tujuan utama kutipan zakat mencapai matlamat.
  
"Apa yang saya lihat, mereka tidak dapat mengenal pasti keperluan sebenar golongan asnaf mengikut keutamaan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
  
Beliau mengakui mekanisme kutipan zakat di Malaysia sangat efisien dan antara yang terbaik di dunia, namun birokrasi dalam kaedah pengagihan zakat menyebabkan golongan asnaf kekal miskin.
  
"Ada sesetengah negeri memberi modal perniagaan kepada asnaf dan saya akui langkah ini memang bagus, tetapi tiada pemantauan yang dibuat.
  
"Saya ambil contoh gerai burger, mereka sekadar memberi modal dan menyediakan gerai, tetapi cuma setakat itu sahaja," katanya.
  
Pusat pungutan zakat negeri yang menunjukkan kejayaan membangggakan setiap tahun seperti Wilayah Persekutuan mencatat kutipan zakat harta sebanyak RM492,011,373 pada 2013, meningkat 20 peratus berbanding 2012.
  
Di Selangor pula jumlah kutipan zakat harta pada 2013 adalah sebanyak RM517.4 juta iaitu peningkatan 14.6 peratus berbanding tahun sebelumnya RM451.3 juta.
  
Namun, beberapa kajian oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan wujud kelompangan dalam agihan zakat menyebabkan ia tidak memberi impak maksimum.
  
Kajian oleh Universiti Malaya (UM) pada 2010 mencadangkan agihan zakat ditumpukan kepada golongan miskin dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
  
Kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2008 pula menunjukkan bantuan modal zakat perlu diubah dengan pemantauan yang ketat bagi memastikan kejayaan dan keberkesanannya.
  
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan turut mengakui agihan zakat kepada asnaf hanya mampu mengurangkan beban mereka untuk tempoh singkat namun tidak mencukupi untuk membebaskan golongan itu daripada kepompong kemiskinan.
  
"Untuk sementara seperti bayar sewa, elektrik, kesihatan dan sebagainya tetapi pendapatan mereka tidak bertambah juga.
  
"Jadi kita perlu melihat kepada kaedah lain seperti memberi pengetahuan kepada mereka untuk mencari pendapatan yang lebih agar mereka dapat keluar daripada asnaf," katanya.

Tambahnya, pusat-pusat pungutan zakat perlu sentiasa melakukan penambahbaikan agar bantuan zakat kepada golongan asnaf dapat disalurkan dengan lebih lancar dan berkesan. - Bernama