SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan mengambil tindakan ke atas pegawainya yang terlibat menahan wanita yang hendak bernikah di sebuah kuil baru-baru ini sekiranya didapati ingkar perintah.

Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jais, Nurhamizah Othman berkata, Jais sedang menjalankan siasatan dalaman terhadap perkara tersebut.

“Jais telah mengadakan mesyuarat khas berikutan tindakan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jais menahan wanita Islam yang bernikah di sebuah kuil, Ahad lalu.

“Satu siasatan dalaman sedang dibuat Jais dan sekiranya didapati pegawai tersebut ingkar perintah, tindakan tatatertib akan diambil terhadap pegawai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua pegawai telah dimaklumkan bahawa apa-apa tindakan penguatkuasaan membabitkan agama selain Islam perlu mendapat kebenaran daripada pihak atasan Jais dan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

“Pihak Jais memandang serius akan hal ini dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pegawai yang didapati bersalah dan ingkar perintah,” katanya.

Ahad lalu, Jais menyerbu satu majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu di Petaling Jaya, Selangor.

Jais mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan.