Beliau turut meminta Rayer supaya tidak mempermainkan isu permohonan maafnya berhubung perkara itu.
"Mengapa Rayer perlu menunggu sehingga enam bulan (sesi persidangan Dun yang akan datang) untuk memohon maaf? Sekiranya beliau seorang yang budiman, permohonan maaf itu boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jahara mengulas kenyataan Rayer semalam dalam The Malaysian Insider yang memetik beliau sebagai berkata "sekiranya ada pihak yang mendesak mahukannya menarik balik ungkapan beliau, ia harus dibuat semasa sidang Dun yang akan datang".
Rayer mengatakan "Umno Celaka" dalam ucapannya pada persidangan Dun 20 Mei lepas yang mencetuskan insiden rempuh masuk bangunan Dun oleh sekumpulan pemuda sehari selepas itu.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan Pemuda Umno Pulau Pinang turut membuat laporan polis terhadap Rayer kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam beberapa ceramah kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, baru-baru ini.
Jahara menyifatkan Rayer sebagai seorang ahli politik yang penakut kerana hanya berani berselindung di belakang tabir imuniti Dewan. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/politik/adun-umno-sedia-maaf-rayer-jika-beliau-kesal-1.286709