KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Konsesi penswastaan kampus UiTM Cawangan Seremban III Negeri Sembilan didakwa menjadi sarang rasuah apabila projek itu dimonopoli oleh beberapa syarikat yang dikuasai ahli politik Umno.

Rafizi Ramli (PKR-Pandan) berkata, projek pembiayaan swasta itu dianugerahkan kepada syarikat bernilai RM2 dan dimiliki oleh adik seorang pemimpin wanita Umno.

"Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati milikan pegangan saham syarikat itu sebanyak  29 peratus dan dikuasai oleh dua tokoh yang rapat dengan Umno.

"Semakan SSM juga menunjukkan bahawa pengarah-pengarah syarikat berkenaan masing-masing adik kepada pemimpin politik," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut jawapan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 10 April lalu yang menunjukkan konsesi selama 23 tahun kepada syarikat itu mencecah RM1.5 bilion.

Selain itu, dakwa Rafizi, penguasaan ahli politik dalam syarikat tersebut hanya kerana mereka membuka ruang 'kabel politik' untuk dianugerahkan satu konsesi lumayan sedangkan hanya syarikat pembinaan menjalankan kerja-kerja pembinaan sebenar.

"Susun atur pemegang konsesi penswastaan UiTM Cawangan Seremban III menunjukkan bagaimana kroni kapitalisme digunakan di Malaysia untuk mengkayakan ahli politik yang rapat dengan Umno," dakwanya lagi.