KOTA BHARU - Golongan politik yang didakwa mempunyai kepentingan diri dan berniat jahat diminta tidak menyebarkan kekeliruan berhubung negara Islam atau sekular.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Kelantan (Yadim), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kenyataan mengenai isu itu boleh menganggu-gugat keamanan negara, sedangkan Malaysia berada dalam keadaan stabil.

“Golongan digelar ‘opurtunis politik’ mempunyai kepentingan dan niat jahat. Saya rasa masyarakat Islam memahami kestabilan negara.

“Jangan persoalkan dan cetuskan riak tidak puas hati kerana negara sudah harmoni, semua lapisan masyarakat memahami bahawa Islam agama Persekutuan dan teras,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Nadwah Qiyadi Karnival Hijrah, sempena Program Dakwah Negara 2014 yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan di Balai Islam, di sini, semalam.

Asyraf Wajdi berpendapat masyarakat terutama bukan Islam tidak faham mengenai status agama rasmi negara, namun perkara itu timbul kerana wujudnya ahli politik berkepentingan.

“Dia (ahli politik) semacam bertanya perkara yang sudah jelas termaktub dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa Islam agama Persekutuan, yang dengan sendiri memberi makna cukup jelas status agama negara ini," katanya.

Sementara itu, Kelantan dilihat negeri paling berjaya mengumpulkan pengunjung bagi karnival hijrah dengan himpunan 60,000 orang selama lima hari.

Beliau berkata, selepas ini pihaknya akan bergerak ke Sabah dan pada Oktober nanti ke Perak, seterusnya ke Johor.

"Kita telah mengadakan karnival ini di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Wilayah Persekutuan,” katanya.