NIBONG TEBAL - Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak sepatutnya berasa terancam dengan cadangan kerajaan negeri Kedah untuk membina lapangan terbang antarabangsa di Kulim.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata lapangan terbang antarabangsa itu kelak bukan sahaja memberi manfaat kepada Kedah, malah bakal memberi impak positif kepada tiga daerah di Pulau Pinang dan utara Perak.

"Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) tidak perlu bimbang kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) sudah membuktikan kemampuannya dalam merancakkan aktiviti pertumbuhan ekonomi di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas  merasmikan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak anjuran Kementerian  Kewangan, di sini hari ini.

Zainal Abidin mengulas laporan akhbar bahawa Lim akan meminta tambahan dua buah lapangan terbang untuk Pulau Pinang sekiranya cadangan yang dibuat Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu diluluskan kerajaan Pusat.

Guan Eng berkata, lokasi di Kulim menimbulkan banyak persoalan memandangkan ia begitu hampir dengan Pulau Pinang, tambahan pula Kedah sudah mempunyai dua
lapangan terbang iaitu di Langkawi dan Alor Setar.     Zainal Abidin juga berkata permintaan Muhkriz itu adalah hak Kedah dalam merencanakan pembangunan di Kulim.
- Bernama

http://www.sinarharian.com.my/semasa/kerajaan-p-pinang-tidak-sepatutnya-rasa-terancam-1.290311