PRESIDEN Gerakan Mah Siew Keong akan bertempur dengan setiausaha politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud di PRK Parlimen Teluk Intan.

Pertandingan di Teluk Intan dijangka menjadi pertandingan yang sengit dan bermakna untuk rakyat Malaysia berbanding dengan PRK Kuala Besut, Sungai Limau dan Kajang yang sudah selesai dan Bukit Gelugor yang sedang berjalan.

Mari kita melihat aspek-aspek penting di PRK Teluk Intan.


Umno, Perkasa, Isma 

Cara Umno, Perkasa dan Isma berkempen akan menjadi fokus di PRK Teluk Intan. Setiap serangan pada Dyana boleh mendedahkan lagi hipokrisi mereka. Ironisnya, faktor terbesar yang menyukarkan kempen di PRK Teluk Intan kerana bangsa Dyana Sofya ialah Melayu.

Kempen ketiga-tiga ini bermula pada langkah yang salah. Serangan bertalu-bertalu yang dilancarkan terhadap Dyana telah membantu melonjakkan nama gadis ini di persada politik negara.

Belum lagi hari pencalonan, Dyana sudah dituduh dengan pelbagai label dan nama. Yang paling kelakar ialah tuduhan bahawa Dyana adalah boneka DAP.

Jika Dyana adalah boneka DAP, Mah Siew Keong boneka siapa? Tepuklah Gerakan, tapi tanyalah Umno.

Sekiranya Dyana menang, ahli parlimen berbangsa Melayu bertambah seorang lagi. Akan tetapi jikalau Mah Siew Keong yang menang, ahli Parlimen berbangsa bukan Melayu pula yang akan bertambah.

Selama ini, Perkasa dan Isma selalu khuatir kuasa Melayu terancam. Jika benar itu kebimbangan mereka, mereka patut bertepuk tangan menyokong langkah DAP untuk menambah ahli Parlimen berbangsa Melayu melalui PRK Teluk Intan.

Jika Perkasa dan Isma tidak mahu dilihat hipokrit, mereka perlu mengutuk Umno kerana membiarkan Gerakan meletakkan calon mereka kerana DAP berani meletakkan calon Melayu.

Bukan itu sahaja, bahkan mereka patut mendesak Umno untuk merampas kerusi bukan Melayu daripada ditandingi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang tidak menyumbang langsung di PRU13.

Memandangkan Umno gagal mengambil kerusi ini daripada Gerakan, Perkasa dan Isma perlu meletakkan calon mereka untuk memberikan pilihan kepada penyokong mereka di Teluk Intan yang dididik untuk tidak menyokong boneka DAP, Dyana dan orang kafir seperti Mah Siew Keong yang menentang hukum hudud, seperti apa yang Isma lakukan di PRU13 menggunakan tiket Berjasa.

Tunggu dan nikmati gelagat Perkasa dan Isma di PRK Teluk Intan. Suka ataupun tidak, mereka adalah newsmakers yang mampu menarik ramai pembaca.


Gerakan

Gerakan boleh menggantikan tempat MCA yang tidak berani bertempur di Bukit Gelugor di dalam BN sekiranya Mah Siew Keong berjaya merampas kerusi ini daripada DAP.

Sekiranya Mah Siew Keong tewas, Gerakan akan hilang semua nilainya untuk Umno dan BN. Jadi, PRK Teluk Intan ini ibarat do-or-die bagi Gerakan.

Tiada parti yang akan mempertaruhkan presidennya tanpa maklumat risikan bahawa kerusi Teluk Intan boleh dirampas oleh BN kali ini.

Atas dasar ini, Dyana melakukan satu keputusan bijak untuk menggelarkan dirinya sebagai "underdog" dalam pertempuran ini.

Sekiranya Gerakan menang, Umno akan bersorak bahawa undi orang bukan Melayu telah kembali ke pangkuan mereka. Untuk itu, kerenah Perkasa dan Isma akan lebih menjadi-jadi kerana mereka akan menganggap tindakan mereka sekarang adalah sesuatu yang boleh diterima rakyat malah tidak menghakis sokongan kepada BN.


DAP 

Apa perhitungan DAP mempertaruhkan Dyana sedangkan DAP sedar Gerakan tidak akan mempertaruhkan presidennya sekiranya mereka tiada keyakinan untuk merampas kerusi ini?

Muktahir ini, serangan perkauman pada DAP semakin menjadi-jadi. Jika sebelum PRU13 ialah Perkasa, kini DAP terpaksa berdepan dengan serangan Isma. DAP tahu betapa pentingnya untuk menumpulkan serangan perkauman bertubi-tubi padanya, dan meletakkan Dyana sebagai calon di PRK Teluk Intan adalah langkah besar ke arah mencapai objektif itu.

Meletakkan Dyana menimbulkan beberapa risiko dalaman pada DAP. Ini boleh dilihat apabila Tony Pua dan bukan pemimpin daripada kalangan DAP Perak dilantik mengetuai jentera pilihan raya DAP.

Namun masalah dalaman ini tidak berlarutan kerana bantuan daripada musuh-musuh DAP yang melakukan serangan gila-gila terhadap Dyana. Kerana serangan itulah, bantahan dalaman kepada pencalonan Dyana diminimakan kerana semua beralih fokus untuk mempertahankan Dyana.

Dyana juga mempunyai kelebihannya sendiri. Bukan mudah untuk menjadi setiausaha politik Kit Siang. Di dalam DAP, semua tahu orang yang dipilih Kit Siang bukan calang-calang bakatnya, malah semua berpotensi menjadi ahli politik yang cemerlang seperti Teresa Kok pada masa depan.

Dyana adalah insuran kepada parti kerana kalau DAP menang, DAP menang kerusi dan persepsi, dan jika DAP tewas, DAP hilang kerusi tapi menang persepsi. Persepsi yang bakal dimenangi DAP ialah ia adalah parti pelbagai kaum dan bukan sebuah parti Cina. Oleh itu, apa jua keputusan PRK Teluk Intan, DAP tetap akan merai kemenangan.

Tapi kemenangan dalam ketewasan itu akan hilang sekiranya kekalahan itu berpunca daripada kemerosotan undi bukan Melayu, dan dikaitkan pula dengan isu hudud sebagai puncanya.


Pakatan Rakyat

PKR boleh bernafas lega kerana kehangatan PRK Teluk Intan akan mengalihkan tekanan daripada masalah teruk yang melanda pemilihan parti mereka.

PRK Teluk Intan memberikan medan untuk ketiga-tiga parti untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama selepas kontroversi hudud.

Isu hudud juga dijangka tidak akan dibangkitkan di PRK Teluk Intan kerana isu ini berpotensi menyebabkan kontroversi dalaman pada BN dan juga PR.

Jika Gerakan berani bermain isu hudud, Umno akan terpaksa menjawab samada mereka menyokong perlaksanaan hudud; dan ini akan menyukarkan Umno.

Ini kerana bola kini di kaki kerajaan persekutuan yang telah bersetuju mewujudkan jawatankuasa teknikal mengkaji perlaksanaan hukum hudud bersama kerajaan negeri Kelantan.

Pakatan Rakyat cuma perlu berdiri tegas pada isu hudud – bahawa Pas dan DAP tidak pernah berubah pendirian dalam isu hudud sejak zaman dulu-dulu; tapi yang berubah-ubah pendirian ialah Umno.

Gerakan boleh mencuba nasib dengan isu hudud. Tapi yang tertekan hanyalah Umno kerana rakyat dah mengetahui pendirian Pas dan DAP. Yang mereka tak tahu ialah sikap Umno sahaja.

Jika Umno sokong hudud, rakyat akan tertanya-tanya mengapa Umno tetiba ubah pendirian? Kalau Umno betul ikhlas, mengapa tak cuba laksana di Terengganu sedangkan kanun jenayah syariah juga wujud di Terengganu?

Kesimpulannya, PRK Teluk Intan akan mempunyai kesan mendalam pada cara berpolitik di Malaysia, terutamanya dari segi sejauh mana tembok perkauman boleh diruntuhkan di negara ini.