HASRAT calon Bebas, MOHAMED NABI BUX MOHD NABI ABDUL SATHAR bertanding dalam PRK Parlimen Bukit Gelugor menjadi kenyataan kerana sokongan moral ahli Pas cawangan utara. Sokongan moral dan kepercayaan ahli Pas Kedah dan Pulau Pinang yang diberikan kepadanya kerana sifat beliau yang lantang bersuara dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

Demi sokongan itu, Mohamed Nabi Bux berani menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas menggunakan simbol bunga raya kerana ia adalah simbol bunga kebangsaan.
Berpegang kepada moto ‘Masa Untuk Perubahan di Parlimen Bukit Gelugor’, iaitu perubahan ekonomi dan sosial dalam kalangan penduduk.         Dengan pendekatan tersendiri untuk memikat hati pengundi di setiap ceramah atau berucap, beliau akan mendendangkan lagu Hindi bertujuan menghiburkan hati orang ramai yang mengelilinginya sekali gus mendekati hati rakyat.

Ikuti wawancara bersama beliau oleh wartawan Sinar Harian, Gokina Morganan baru-baru ini.

Terangkan sedikit penglibatan anda dalam politik?

Selepas bersara sebagai pekerja biasa di sebuah bank di Kuala Lumpur, saya mula berjinak-jinak dalam bidang politik kerana tidak puas dengan wakil rakyat Kampung Banjar, Batu Caves, Selangor, ketika saya tinggal di rumah setinggan dekat situ.

Setiap kali hujan, penduduk dihantui dengan masalah banjir. Namun pada 1997, wakil rakyat kawasan perumahan yang saya tinggal ketika itu dari BN, tiada tindakan dibuat walaupun penduduk di situ berulang kali membuat aduan. Berikutan itu, saya terfikir sudah tiba masa untuk bertukar parti iaitu beralih sokongan kepada Pas.

Saya sendiri turun padang mengedar borang keahlian Pas di kawasan Kampung Banjar. Hasil daripada itu, saya berjaya mengumpul 190 ahli yang mengisi borang keahlian Pas sebagai ahli biasa. Daripada jumlah itu, 60 ahli yang dipilih didaftar mendapatkan penaja menubuhkan satu jawatankuasa.  Kesemua ahli yang mendaftar itu, menerima sijil keahlian Pas daripada Setiausaha Pas Kawasan Gombak, Allahyarham Mohd Radzi Yusof dalam satu ceramah anjuran Pas oleh  wakil rakyat Tanjung Karang Selangor, Hasan Ali.  Dari situlah, bermulanya era politik saya sehinggalah bertanding dalam PRK Bukit Gelugor.

Bagaimanakah dengan penglibatan, anda dalam badan bukan kerajaan (NGO)?

Walaupun, saya tidak menjadi ahli mana-mana badan NGO, namun saya sentiasa aktif dalam aktiviti komuniti seperti bergotong-royong dan sumbangan kepada keluarga kurang berada ketika musim perayaan. Saya akan mengenal pasti keluarga yang susah untuk diberi bantuan oleh Pas cawangan atau Pusat.

Mengapa anda berhasrat bertanding dalam PRK Bukit Gelugor?

Hasrat saya untuk bertanding dalam PRK Bukit Gelugor tercetus dengan dorongan dan sokongan moral rakan-rakan seperjuangan serta ahli keluarga saya yang yakin dengan kebolehan dan niat baik saya membantu rakyat terpinggir.

Mengapakah bertanding di Pulau Pinang sedangkan anda ahli Pas Selangor?

Saya anak kelahiran Pulau Pinang walaupun membesar di Kuala Lumpur sejak kecil sehingga bersara pada usia 55 tahun. Pada 2006, saya berpindah ke Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara pada.

Kemudian, saya berniaga kecil-kecilan dengan menjual kuih-muih. Namun, saya tidak ketinggalan untuk mengambil tahu perkembangan semasa politik di Pulau Pinang dan Malaysia amnya, menerusi media masa.

Saya aktif menyertai bantahan atau demonstrasi meluahkan pendirian mewakili parti terhadap sesuatu isu yang menyentuh agama, bangsa dan masyarakat.
Antara demonstrasi yang saya sertai ialah berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua menyifatkan insiden pencerobohan di Lahad Datu sebagai sandiwara Umno yang turut menimbulkan kemarahan ahli Pas.

Susulan itu, saya dan beberapa ahli Pas yang lain tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), menggesa polis mengambil tindakan segera kerana kenyataan Tian Chua dianggap boleh menimbulkan suasana tegang.

Ciri kelantangan bersuara yang ada pada diri saya,  meyakinkan ahli Pas cawangan zon utara, dari Pulau Pinang dan Kedah menyarankan saya bertanding dalam PRK Bukit Gelugor.
Pada awalnya, saya menolak namun selepas memikir perubahan perlu dibawa di Parlimen Bukit Gelugor, akhirnya saya bersetuju.

Adakah seseorang wakil rakyat semestinya daripada golongan profesional?

Tidak semestinya seorang wakil rakyat perlu daripada golongan profesional atau peguam. Tetapi, perlulah berada bersama penduduk. Contohnya, wakil rakyat daripada profesion undang-undang bukannya ada masa untuk kerap berjumpa dengan penduduk setempat setiap hari. Mereka sentiasa sibuk untuk menghadiri kes di mahkamah.

Kalau pilih saya sebagai wakil rakyat, tentu saya akan meluangkan masa setiap hari mendengar masalah rakyat dan mencari saluran yang sesuai untuk menyelesaikan masalah mereka.

Apakah harapan anda untuk PRK Bukit Gelugor ini. Kalau menang, apakah pembaharuan yang akan dilakukan di situ?

Saya yakin mampu meraih 70 peratus pengundi Islam daripada komuniti Melayu di Parlimen Bukit Gelugor.

Saya menerima banyak respons positif daripada pengundi Islam ketika melawat peniaga dan pelanggan di Astaka Kampung Melayu dan Flat Kampung Melayu.

Boleh dikatakan majoriti pengundi Melayu menyokong saya, sudah tentu saya akan menang.

Jika menang, saya mahu membuka pusat khidmat masyarakat di mana mereka boleh datang dan berkongsi masalah pada bila-bila masa.

Kalau sebaliknya, saya terima dengan hati terbuka dan menganggap itu pengalaman menceburi bidang politik.