KUALA LUMPUR - Program Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang memberi kelebihan kepada guru untuk menilai prestasi murid dilaksanakan kerajaan atas dasar kepercayaan, kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin.
Justeru beliau berkata, para guru tidak sepatutnya menolak atau menganggap PBS perlu diserahkan kepada orang lain untuk melaksanakan program itu.
"PBS sebenarnya profesional autonomi yang memberi guru untuk mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran tapi apa yang saya terkilan dan tak faham kenapa guru tak mahu, dia boleh tolak," katanya ketika membentangkan kertas kerja sempena Seminar Transformasi Pendidikan Nasional 2014 di Universiti Malaya di sini hari ini.
Amin berkata disebabkan ketidakfahaman guru mengenai PBS dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 secara menyeluruh menyebabkan mereka merasakan PBS sesuatu yang membebankan.
Selain itu, beliau berkata walaupun pelan itu mengandungi perubahan yang besar dalam struktur pendidikan, sistem dan budaya, namun secara mudah pelan itu sebenarnya hanya memfokuskan hasil di dalam bilik darjah.
"Pelan ini jika tidak dapat mengubah apa yang berlaku di bilik darjah, budaya pembelajaran dan pengajaran tidak mengubah anak didik kepada hasrat yang kita cadangkan, saya secara peribadi berkata ia akan gagal," katanya.
Seminar dua hari bertemakan 'Strategi Mentransformasikan Pendidikan Nasional, itu antara lain bertujuan menjana strategi ke arah merealisasikan pelan pembangunan pendidikan selain mengenal pasti isu yang mempengaruhi kualiti pengajaran dan pembelajaran. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/nasional/pbs-beri-kelebihan-guru-untuk-menilai-murid-1.278590
0 Komentar untuk "PBS beri kelebihan guru untuk menilai murid"