SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Kelantan mahu menjadikan undang-undang jenayah Islam diiktiraf sebagai undang-undang negara.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, isu menjatuhkan hukum tidak timbul selagi mana hukum hudud itu tidak diiktiraf oleh Perlembagaan.

"Isunya bukan potong tangan tetapi menjadikan undang-undang jenayah Islam sebagai undang-undang dalam negara.

"Kita baru hendak beli kereta bukan bawa kereta takut langgar orang dan lain-lain," katanya pada Wacana Sinar Harian siri ke-27 bertajuk 'Hudud: Bersediakah Kita?" di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut hasrat Pas Kelantan yang berhasrat membawa usul rang undang-undang persendirian (hukum hudud) melalui ahli Parlimennya ke Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember tahun ini.

Sebelum ini, Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, dilaporkan berkata pihaknya sudah pun menyiapkan draf untuk tujuan itu dan cuma memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.

Mengulas lanjut, Mohd Amar menambah, hasrat Pas itu bukan perkara baharu malah ia telah diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada 1993.

Namun jelaskan pelaksanaan hudud di Kelantan terhalang akibat undang-undang negara dan memerlukan pindaan dalam Perlembagaan sebelum ia boleh dilaksanakan.

"Sebab itu kita pergi ke Parlimen untuk meminta ahli Parlimen menyokong hasrat Pas Kelantan laksanakan hudud," katanya lagi.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/kelantan-mahu-hudud-diiktiraf-undang-undang-negara-1.277882