KUALA TERENGGANU – Pas menafikan dakwaan Datuk Seri Ahmad Said diajak menyertai parti itu  dan dijanjikan jawatan menteri besar ketika Adun Kijal itu mengisytiharkan dirinya wakil rakyat Bebas selepas keluar daripada Umno.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang tawaran kepada Ahmad dan tiada pertemuan dibuat dengan bekas menteri besar itu.

Menurut Satiful Bahri, berdasarkan prosedur, sebarang tawaran atau rundingan daripada Pas perlulah datang melalui beliau sebagai Pesuruhjaya Pas, iaitu pemimpin tertinggi di peringkat negeri.

“Kenyataan itu adalah bohong dan tidak bertanggungjawab. Kita tak pernah tawarkan apa-apa kepada beliau (Ahmad),” katanya  pada  sidang media di Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, semalam.

Satiful Bahri yang juga Adun Paka berkata, bagi mengukuhkan lagi kenyataannya itu, beliau turut menghubungi pemimpin Pas di peringkat Pusat dan ternyata tiada tawaran daripada kepimpinan itu.

Secara dasarnya, Pas terbuka untuk menerima sesiapa saja menyertai parti tersebut, namun mereka tidak berminat untuk ‘meminang’ Ahmad.

“Dalam isu ini, kita berpendapat Ahmad pemimpin yang banyak masalah, banyak isu, 'kluk-klek' pun ada,” katanya.

Malah, menurut Satiful Bahri, beliau sendiri sudah menjangka Ahmad dan dua rakannya iaitu Adun Ajil, Ghazali Taib serta Adun Bukit Besi, Roslee Daud akan membuat pusingan U dan kembali menyertai Umno.

Walaupun terkilan dengan alasan diberikan wakil rakyat itu untuk keluar parti hingga mencetuskan suasana tegang, Satiful Bahri percaya rakyat sedang menilai kualiti kepimpinan pemimpin Umno dan BN.

“Pas dari awal lagi sudah tegaskan, kita tidak mahu apa yang berlaku di Perak berulang di Terengganu. Biar rakyat yang tentukan,” katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang media khas di rumah Ahmad di Kijal, kelmarin, bekas menteri besar itu mendedahkan beliau beberapa kali ditawarkan Pas untuk menyertai parti tersebut, semasa krisis politik Terengganu memuncak tiga hari lalu.

Ahmad berkata, beliau didatangi beberapa ahli Pas yang memujuk beliau agar masuk ke dalam parti tersebut.