KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian hari ini mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara.
  
Upacara angkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
  
Asyraf Wajdi, 38, yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno, merupakan lulusan Ijazah Kedoktoran (Kewangan dan Perbankan Islam) Universiti Loughborough, United Kindom.
  
Selain bertindak sebagai penyelaras akademik di Institut Perbankan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 2006, Asyraf Wajdi juga merupakan pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah di Affin Islamic Bank hingga kini.
  
Ketika ditemui pemberita, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata beliau akan memfokuskan isu berkaitan golongan muda dalam persidangan dewan.
 
"Apa sahaja isu yang menjadi tumpuan oleh golongan muda akan saya beri perhatian selain isu halal dan kewangan Islam," katanya.
  
Sementara itu Dr Kui Hian, 49, pula adalah Ahli Lembaga Pelawat Hospital Umum Sarawak dan pernah memegang beberapa jawatan dalam bidang kesihatan termasuk menjadi presiden Persatuan Jantung Kebangsaan pada 2008 dan pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (Sarawak) pada 2007.
  
Berkelulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan MBBS daripada Universiti Monash, Australia, Dr Kui Hian berkata beliau akan turut memberi fokus kepada golongan muda terutama dari Sarawak.
  
Dalam pada itu Abu Zahar turut mengingatkan supaya kedua-dua mereka memberi fokus kepada budaya kerja cemerlang dan mentaliti kelas pertama.
  
Beliau turut berharap anggota Dewan Negara sebagai golongan profesional, dapat mengemukakan hujah tanpa rasa takut atau malu, dan komited demi kepentingan bangsa,agama dan negara. - Bernama