Badan Warisan: Tapak Lembah Bujang perlu perlindungan segera - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Badan Warisan: Tapak Lembah Bujang perlu perlindungan segera

Badan Warisan: Tapak Lembah Bujang perlu perlindungan segera


KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa digesa untuk mengambil tindakan segera untuk melindungi runtuhan kuil purba di Lembah Bujang dan mengambil tindakan punitif untuk mengelakkannya daripada terus dimusnahkan.

"Melainkan terdapat pengurusan dan rejim perlindungan yang ketat ditambah pula dengan tindakan pantas dan punitif yang dilaksanakan oleh penjaga  rasmi warisan negara kita, pemusnahan warisan negara kita akan diteruskan dan kita hanya akan dapat melihat sahaja tanpa membuat apa-apa," kata Badan Warisan Malaysia hari ini.

Bercakap kepada Astro AWANI, Pengarah Eksekutif Badan Warisan Malaysia Elizabeth Cardosa menyatakan kebimbangan mengenai 'perobohan sengaja' terhadap sisa-sisa kuil purba abad ke-8 itu.

"Badan Warisan menggesa Jabatan Warisan Negara dan kerajaan negeri Kedah untuk meletakkan segala langkah untuk menghentikan kemusnahan tapak arkeologi purba dan  memberikan aset yang begitu bernilai dengan segala perlindungan yang diperlukan, " kata Cardosa.

Cardosa berkata NGO beliau percaya bahawa tapak arkeologi ini mempunyai potensi besar untuk disumbangkan kepada sejarah dan budaya dunia.

"Langkah-langkah perlu diambil dengan segera dan dimasukkan dalam Senarai Tentatif sebagai Tapak Warisan Dunia sebelum monumen lain dimusnahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab."

Cardosa berkata ia membimbangkan apabila hanya beberapa monumen sahaja di kawasan Sungai Batu di Lembah Bujang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan pada tahun 2012.

Tapak lain tidak mempunyai sebarang perlindungan undang-undang.

Sementara itu, Angela Hijjas daripada Rimbun Dahan berkata arahan berhenti kerja perlu dikeluarkan serta merta dan kontraktor "harus dilarang daripada kawasan ini" dan "didakwa" selepas siasatan dilakukan.

"Ini adalah vandalisme tahap tertinggi. Malangnya kebanyakan orang ramai di Malaysia, dan juga dasar kebudayaan kerajaan, agak jahil tentang tapak ini dan kepentingannya. Ia diabaikan dan kini ia sedang dirosakkan, "katanya.


0 Komentar untuk "Badan Warisan: Tapak Lembah Bujang perlu perlindungan segera"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI