JITRA - Kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan drastik dengan menutup operasi maahad tahfiz yang masih berdegil mempergunakan khidmat kanak-kanak untuk mengutip derma.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sekiranya enggan berdepan dengan tindakan, semua maahad tahfiz di Kedah yang dikenal pasti terlibat diminta segera menghentikan perbuatan itu.

“Tindakan tegas ini bukan kerana kita mahu menzalimi pusat tahfiz, tetapi fikirkan kebajikan kanak-kanak yang dizalimi itu,” katanya selepas majlis berkhatan beramai-ramai di Masjid Ar-Rahman, Alor Merah, melibatkan 27 kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.

Menurutnya, pihaknya masih menerima laporan berhubung kejadian itu berlaku di beberapa daerah di negeri ini.

Mukhriz berkata, terdapat juga sebahagian pusat terbabit menghantar pelajar ke seluruh negeri termasuk luar Kedah, bagi tujuan itu dan ini amat mengecewakan.

“Ibu bapa hantar anak mereka untuk timba ilmu, supaya menjadi tahfiz sebaliknya disalah guna untuk kutip derma,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kesal perkara itu masih berleluasa kerana bimbangkan keselamatan pelajar yang berisiko terdedah pada bahaya.

“Kebelakangan ini kita dengar macam-macam cerita penculikan babitkan kanak-kanak, pihak sekolah harus lebih peka,” katanya.

Mukhriz berkata, hasil siasatan yang dijalankan, kutipan dana terbabit tidak disalur untuk kegunaan pengurusan mahupun pengajian sekolah, sebaliknya untuk tujuan lain.

“Mereka bukan sahaja tidak daftar, tetapi tidak mohon kebenaran untuk aktiviti kutipan derma. Malah, sudah beberapa kali diberi amaran namun masih berdegil,” katanya.

Mengulas nasib pelajar sekiranya operasi maahad terlibat dihentikan, kerajaan negeri akan memindahkan pelajar ke tempat lain yang bersesuaian kerana terdapat banyak pusat tahfiz di Kedah yang berdaftar.

http://www.sinarharian.com.my/tutup-maahad-yang-degil-1.226493