ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah mendapat jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak akan dipersetujui sekiranya ia memudaratkan rakyat negeri ini.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini hari ini, jaminan berkenaan turut diberi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kesan langsung perjanjian TPP yang boleh diraih bukan saja oleh pengeksport malah rakyat Kedah sebagai pengguna secara keseluruhannya mendapat manfaat yang luas hasil pembukaan pasaran dari segi pilihan barangan dan perkhidmatan.

Katanya ia mampu membuka peluang pelaburan yang berkualiti tinggi untuk rakyat Kedah di samping meningkatkan kualiti hidup dengan lebih baik untuk menyiapkan diri bersaing di peringkat global.

"(Tapi) saya juga secara langsung telah nyatakan, sampaikan kebimbangan kita sebagai negeri yang sudah tentu akan kena tempias hasil rundingan ini dan jaminan yang saya dapat, perjanjian ini tak akan ditandatangani sekiranya terdapat mudarat kepada rakyat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit).

Amiruddin mempersoalkan tentang perkara yang memberi kesan langsung dan tidak langsung terhadap aktiviti sosioekonomi rakyat Kedah sekiranya perjanjian TPP dipersetujui.

Ketika menjawab soalan tambahan Amiruddin mengenai setiap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu diberi kertas maklumat penting tentang perjanjian TPP, Mukhriz berkata buat masa ini biarlah hanya kerajaan yang berurusan dalam hal itu.

"Seperti yang kita maklum dalam mana-mana rundingan dah tentu kita kena simpan rahsia takut dibocor kepada pihak belah sana, maklumlah dalam perjanjian TPP ini ada 12 negara terlibat dan sekarang ini banyak komen datang daripada kebocoran maklumat contohnya Wikileaks.

"Kerajaan negeri beri jaminan bahawa tidak akan ada sebarang persetujuan kalau ia (TPP) menjejaskan Kedah khususnya dan Malaysia secara amnya. Jangan beranggapan bahawa dalam proses rundingan, seolah-olah ia (TPP) telah dipersetujui," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita di luar dewan, beliau berkata dalam isu perjanjian TPP kerajaan negeri mempunyai empat perkara penting yang diberi penekanan iaitu pertanian, perolehan kerajaan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan perubatan.

"Ini antara perkara yang kita anggap penting dan kita telah sarankan kepada Menteri agar sentiasa mengambil kira permohonan dari negeri Kedah dan saya kira bukan negeri Kedah sahaja yang membangkitkan perkara ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau tidak keberatan untuk bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekiranya Lim tidak mahu isu bekalan air ke negeri itu dibincangkan di peringkat pegawai kerajaan dari kedua-dua negeri.

"Kalau dah terpaksa, kita pun tak boleh paksa orang (untuk benarkan pegawai berjumpa), saya tak keberatan untuk berjumpa walaupun untuk berbincang perkara kecil, mungkin ada perkara mudah diselesaikan, tak payah fikir panjang boleh selesai," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah (BN-Bakar Bata) yang menyentuh mengenai keengganan kerajaan Pulau Pinang membenarkan pegawainya berbincang dengan pegawai kerajaan negeri Kedah khususnya Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai isu bekalan air.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada persidangan Dun di sini hari ini.

Beliau berkata, keengganan itu dinyatakan melalui surat rasmi yang diterima daripada Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang kepada pihak kerajaan negeri Kedah. - Bernama