MEMPROSES hasil-hasil pertanian lebih mudah berbanding mengusahakan tanah terbiar, memburu ikan di laut atau memelihara haiwan di padang ragut.

Persoalan ini telah lama berlegar di fikiran ahli akademik dan pemain-pemain perniagaan di bidang pertanian.
Fenomena ini menyebabkan sektor ini tidak begitu mendapat tempat dalam kalangan peniaga atau ahli teknokrat berjaya. Apa lagi orang-orang muda (belia) tidak mahu berpanas atau berhujan di lautan luas untuk menjadi nelayan moden atau mengeluarkan keringat menyebabkan tanah-tanah terbiar.

Mereka lebih rela bekerja kilang atau makan gaji daripada menggunakan tulang empat kerat mengusahakan kebun-kebun kelapa atau bendang padi yang menjanjikan hasil yang lumayan.

Sektor perikanan tidak terkecuali biarpun Jabatan Perikanan telah lama memainkan peranan untuk membangunkan sektor ini. Begitu juga Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dikawal selia oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) telah berusaha selama 42 tahun untuk merangka dan melaksanakan pelbagai projek, dan pendekatan baru untuk meningkatkan pendapatan para nelayan di negara ini.

Memperbaiki sosioekonomi nelayan

Sebagai peneraju pembangunan nelayan dan industri perikanan negara, LKIM telah bertungkus-lumus memperbaiki keadaan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan pada masa sama  memajukan perusahaan perikanan negara.

Menurut laporan Jabatan Perikanan (2012), sejumlah 136,514 nelayan telah didaftarkan iaitu; 105,847 (77.5. peratus) nelayan tempatan 30,667 (22.5 peratus) dan nelayan asing.

Dari jumlah itu, seramai 55,000 nelayan tempatan layak menerima Elaun Sara Hidup (ESH) bulanan (RM200/sebulan) yang dikendalikan LKIM.

Sementara bilangan penternak ikan pula seramai 29,261 orang terdiri daripada 2,260 (pengimport ikan), 1,573 (pengeksport ikan), 2,855 (pemborong ikan), 1,494 orang (permit ikan) dan 880 (usahawan perikanan).

Menurut Ketua Pengarah LKIM Datuk Mohad Khazin Hamzah, bilangan nelayan kini melebihi 100,000 orang  yang berjaya menangkap ikan sebanyak 1.373 juta mt (RM6.96b) di mana 1.9 juta mt hasil tangkapan nelayan pantai dan 288,000 mt (nelayan laut dalam).

Sementara, pengeluaran ikan daripada projek akuakultur pula sebanyak 374 mt (RM2.72b) dan ikan hiasan sebanyak 342 mt (RM430.3 juta).

Selain menjaga kebajikan para nelayan, LKIM berperanan sebagai Pendaftar Persatuan Nelayan yang melibatkan 87 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), 13 Persatuan Nelayan Negeri (PNN), sebuah Persatuan Nelayan Kawasan (NEKMAT) melibatkan 98,653 ahli di seluruh negara.

Bagi memburu ikan di Laut China Selatan dan Selat Melaka, sejumlah 53,002 buah bot telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan mengikut kategori iaitu 45,047 (zon A), 5,028 )Zon B), 1,833 (Zon C), 1,094 (Zon C2/C3)

Dengan kadar bilangan penduduk Malaysia yang bertambah, jumlah ikan impot meningkat iaitu 497,230 mt @ RM3.21b) 2012. Kebanyakan ikan yang diimport adalah dari Thailand, Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Filipina.

Untuk meningkatkan pendapatan para nelayan, negara kita juga mengeksport ikan ke Singapura sebanyak 372,437 mt bernilai RM2.11b (2012).

Lima program utama

Menurut Mohad Khazin lagi, LKIM telah melaksanakan lima program utama iaitu bertindak sebagai Pendaftar Persatuan Nelayan, pembangunan industri asas tani, pembangunan pemasaran, pembangunan masyarakat dan industri nelayan dan pembangunan infrastruktur nelayan.
Antara yang ditekankan dalam pembangunan sistem pemasaran, LKIM telah menyediakan empat pusat pengedaran dan pengumpulan ikan melibatkan lapan usahawan. Pada masa sama, LKIM melaksanakan 29 pembangunan pasaran dan promosi membabitkan 36 usahawan.

Di bawah pembangunan masyarakat / institusi nelayan pula, LKIM berjaya menguruskan RM43.96 juta melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan 315 aktiviti ekonomi (RM2.47b) urus niaga melalui 13 Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan 87 Persatuan Nelayan Kawasan/PNK (98,053 ahli).

Untuk mengubah taraf hidup nelayan, LKIM juga telah melaksanakan program pinjaman melalui penyediaan Dana Nelayan bernilai RM99.8 juta (3,653 peserta) yang telah melonjakkan pendapatan peserta dari RM800 kepada RM1,200/ bulan

Mulai 2006 pula. LKIM menyediakan subsidi diesel dan petrol membabitkan 1,095, 440,845 liter (diesel) dan 110,381,536.67 liter (petrol) bernilai RM55 juta/ bulan.

Bagi menampung hidup nelayan, kerajaan menyediakan Elaun Sara Hidup Nelayan kepada 58,000 orang sejak 2008 dengan kadar RM200 sebulan melibatkan peruntukan sebanyak RM11 juta/bulan.

Mulai Jun 2008, LKIM membayar insentif hasil tangkapan kepada 30,000 pemilik bot/bulan dengan kadar 10 sen dan 20 sen/kg ikan dengan purata bayaran bulanan RM7.2 juta.

Mohad Khazin juga menjelaskan, LKIM begitu prihatin terhadap kebajikan nelayan melalui Tabung Bencana Alam dan Kebajikan dengan peruntukan sebanyak RM2 juta yang setakat ini memberi faedah kepada 1,256 nelayan.

Soal perlindungan kepada keluarga nelayan miskin tidak dilupakan, di mana LKIM berjaya membaik pulih 12,755 rumah (RM125.3 juta) dan juga menyiapkan 9,787 rumah baru dan 2,968 rumah dibaik pulih.

Terdapat enam penempatan semula nelayan dibangunkan termasuk Tanjung Dawai (Kedah), Pulau Pangkor (Perak), Kuala Perlis (Perlis), Bunut Rendang (Pahang), Bruit (Sarawak) dan Melaka.

Selain perumahan, perlindungan insurans juga dititikberatkan di mana  perlindungan 24 jam diperkenalkan membabitkan 52,876 nelayan telah mencarum kepada syarikat MAA Takaful.

Sehingga kini, 393 orang dengan  jumlah RM1,788,525.60 telah mendapat faedah. Mohad Khazin juga menjelaskan, LKIM menyediakan 35 kompleks pendaratan ikan dan 333 jeti dengan 260,658 mt (RM620.15 juta) ikan didaratkan.

Sementara, tiga kompleks pendaratan ikan yang masih dalam pembinaan iaitu Kuala Selangor (Selangor), Beladin dan Tanjung Bako (Sarawak) dan Pengerang (Johor).

Dalam usaha untuk keluarkan nelayan daripada kemiskinan, LKIM mengadakan program ‘touchpoint’ sejak 2012 mensasarkan 1,000 nelayan.

Mereka terlibat dalam projek ternakan, pemprosesan ikan, pertanian, perniaagan runcit, pemprosesan hasil-hasil perikanan dan makanan serta perkhidmatan pertanian. Sehingga kini 188 peserta berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

Bagi mencapai hasrat untuk membela nasib nelayan seperti ternyata melalui program utama tadi, LKIM menerima peruntukan tahun 2013 sebanyak RM36,200 (pembangunan), RM111,063 (mengurus) dan RM612,691,610 (peruntukan khas).

Menangani isu berbangkit

Mengakhiri temu bual, Mohd Khazin berkata terdapat 12 isu yang patut ditangani oleh kerajaan melalui MOA, LKIM dan Jabatan Perikanan.

Antara yang ketara ialah usaha untuk meningkatkan pendapatan nelayan kepada RM3,000/ bulan(2020); sumber bekalan ikan terhad menyebabkan galakan makan ikan air tawar serta kawalan subsidi minyak dan insentif oleh DOF; pengurusan kawasan tangkapan ikan di mana berlaku pencerobohan bot pukat tunda ke kawasan Zon A(tepi pantai).

Di samping itu, masalah pencerobohan nelayan asing; kemudahan infrastruktur yang tidak mematuhi piawaian antarabangsa menyebabkan penguatkuasaan dan kajian semula kadar caj/sewa yang dikenakan di kompleks pendaratan ikan kerajaan naik juga ditekankan.

Mengenai keselamatan makanan dan jaminan kualiti ikan juga dititikberatkan. Mohad Khazin berkata, perkara ini melibatkan pelaksanaan kotak plastik berinsulasi dan pengendalian pendaratan ikan yang betul di kompleks-kompleks pendaratan ikan yang diwartakan.

Masalah pengeluaran berskala kecil juga menjadi kekangan kepada pembangunan modal insan di sektor perikanan menyebabkan LKIM terpaksa menyediakan premis-premis perniagaan yang dinaik taraf dan mempunyai akses kepada pasara.

Ini bagi menghindarkan masalah kekurangan bahan mentah, kurang kemahiran dan peralatan /teknologi yang tidak produktif di mana penerapan inovasi dan teknologi ke arah persijilan akan dilaksanakan pada masa terdekat.