http://www.sinarharian.com.my/as-kutuk-pendekatan-kekerasan-oleh-kerajaan-mesir-1.192318
KAHERAH - MESIR. Ketika angka korban keganasan pasukan keselamatan Mesir terus meningkat, komuniti antarabangsa menggesa pihak yang bertelagah segera menamatkan pertumpahan darah.
Ini termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Catherine Ashton dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon yang rata-rata kesal dengan tindakan keselamatan Mesir yang menggunakan pendekatan kekerasan untuk menghentikan keganasan di negara tersebut.
Seorang pegawai AS memberitahu Reuters bahawa Washington sedang mempertimbangkan untuk membatalkan dwitahunan "Star Bright" latihan ketenteraan bersama dengan Mesir, pada tahun ini selepas keganasan terbaru yang disifatkan apa yang berlaku di Mesir tidak dapat diterima.
"Amerika Syarikat mengutuk penggunaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir.
"Kami merakamkan ucapan takziah kami kepada keluarga mereka yang telah dibunuh, dan yang tercedera. Kami telah berulang kali menggesa tentera Mesir dan pasukan keselamatan untuk mencari jalan penyelesaian yang tidak memberi ancaman kepada rakyat mereka.
"Kami juga amat menentang undang-undang Negeri Kecemasan, dan menyeru kepada kerajaan untuk menghormati hak asasi manusia seperti kebebasan berhimpun secara aman, dan proses undang-undang. Dunia menonton apa yang berlaku di Kaherah, “ kata jurucakap White House, Josh Earnest.
Turki yang selama ini tidak mengiktiraf kerajaan sementara Mesir turut mengutuk Kaherah kerana menggunakan keganasan bagi membersihkan kubu penyokong Mohamed Mursi dan Ikhwanul Muslimin.
Pejabat Perdana Menteri Turki berkata, komuniti antarabangsa mesti bertindak serta-merta selepas polis mengganasi penunjuk perasaan yang menuntut Mohamed Mursi dibebas dan dikembalikan ke jawatan Presiden Mesir.
“Komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB dan Liga Arab mesti menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini. Kesatuan Eropah dan beberapa negara-negara anggota kesal dengan pembunuhan yang berlaku,” kata wakilnya.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran pula mengutuk pembunuhan beramai-ramai itu dan menggesa semua pihak menahan diri daripada terus menumpahkan darah
0 Komentar untuk "AS kutuk pendekatan kekerasan oleh kerajaan Mesir"