KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) hari ini mencadangkan kerajaan mengambil inisiatif mengadakan sidang tergempar dengan negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk menghentikan pembunuhan orang awam di Mesir.
  
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata kerajaan juga perlu memanggil duta Mesir dan mengisytiharkan kutukan ke atas pimpinan tentera Mesir yang terus mengambil tindakan ganas terhadap penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi yang digulingkan sejak awal Julai lalu.
  
"Kami telah menghantar surat kepada perdana menteri hari ini menuntut agar satu sidang tergempar diadakan bagi menghentikan keganasan terhadap penduduk Islam di Mesir.
  
"Sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Ban Ki Moon juga telah kami hantar bagi menuntut tindakan ke atas pimpinan tentera Mesir," katanya pada sidang akhbar khas di ibu pejabat Mapim di sini hari ini.
  
Sidang akhbar itu turut dihadiri wakil dari 12 pertubuhan Islam lain termasuk Persatuan Ulama Kedah, Persatuan Ulama Malaysia, Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.
  
Mohd Azmi berkata sebagai negara yang mempunyai hubungan erat dengan Mesir terutama dalam bidang pendidikan, Malaysia perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk menghentikan pembunuhan ke atas orang awam Mesir atas nama mahu menyuraikan perhimpunan pro Mursi yang sebenarnya adalah aman.
  
Katanya, sehingga semalam difahamkan lebih 278 orang awam terbunuh apabila tentera melepaskan tembakan ke atas penyokong Mursi.
  
"Lebih malang krisis di Mesir ini dikhuatiri menjejaskan rakyat Palestin di Gaza apabila satu-satunya jalan darat untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke sana telah ditutup.
  
"Ia juga akan menggugat kestabilan seluruh kawasan Timur Tengah," katanya.  

Mohd Azmi juga menegaskan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Mesir sudah melayakkan mereka diambil tindakan oleh Majlis Keselamatan PBB di bawah bab 7 piagam PBB dan tindakan segera oleh pertubuhan keamanan dunia itu amat perlu untuk mengenakan sekatan ke atas Mesir dan membawa masuk tentera PBB ke wilayah berkenaan.
  
"Oleh itu kami mendesak agar PBB bertindak serta-merta ke atas regim tentera Mesir dan menghalang operasi pembunuhan orang awam di sana.
  
"Seluruh negara Islam dan NGO serta masyarakat sivil perlu menyatakan pendirian menentang keganasan ini dan mengembalikan demokrasi di Mesir," katanya. - Bernama