Amaran, amaran, amaran. Eekeleh! - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Amaran, amaran, amaran. Eekeleh!

http://www.sinarharian.com.my/amaran-amaran-amaran-eekeleh-1.192936

*SEJAK bulan puasa ada sahaja orang mempersenda Islam melalui internet. Mula-mula heboh mengenai berbuka puasa dengan ‘bak kut teh’ atau sup tulang babi. Sepasang pemblog seks telah menghebahkan perkara ini dalam laman sosial.

Jelas sekali niat jahat mereka untuk menghina Islam. Ketika umat Islam sedang berpuasa, mereka memuatkan posting yang amat menyinggung perasaan. Pemblog seks yang juga sepasang kekasih itu dibawa ke mahkamah.

Tidak dibenarkan ikan jamin, mereka terus dimasukkan ke penjara sementara menunggu perbicaraan akhir bulan ini. Tetapi, hanya tiga malam meringkuk di penjara, keduanya kemudian dilepaskan dengan ikat jamin. Mereka ketawa, orang lain pun ketawa sama.

Kemudian timbul pula isu – dalam internet juga – seorang wanita Melayu (Islam), memandikan anjing, kemudian menyambut hari raya dengan haiwan tersebut, dengan latar belakang takbir Aidilfitri. Nampak sangat dia tidak sensitif.

Wanita tersebut, nampak macam lelaki, direman untuk siasatan, kemudian dilepaskan begitu sahaja tanpa sebarang tindakan. Dia ketawa, orang lain pun ketawa.

Terkini Islam dipersenda lagi, kali ini tidak dalam laman sosial, tetapi secara jelas dan nyata. Surau sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor, telah dengan sengaja dijadikan tempat ritual oleh sekumpulan penganut agama bukan Islam.

Sekumpulan penganut agama lain melakukan acara keagamaan mereka di dalam surau tempat orang Islam bersembahyang. Itu pun ada pihak yang menganggap perbuatan tersebut tidak salah di sisi agama. Mereka memberi berbagai hujah yang amat menyakitkan hati.

Pemilik resort tersebut, seorang warga Singapura yang mempunyai status pemastautin tetap, kini direman untuk siasatan. Semua berharap dia akan dikenakan tindakan tegas kerana memberi kebenaran penganut agama lain mencemari surau.

Sebelum tiga kes yang amat mencolok mata dan menjeruk perasaan ini, sudah sekian banyak kesucian Islam sebagai agama rasmi diperlekeh menerusi laman-laman sosial. Tukang perlekeh adalah orang tempatan sendiri.

Mereka yang melakukan penghinaan itu telah dikenal pasti, boleh dikesan, boleh ditangkap, malah boleh dihukum. Tetapi setakat ini kita hanya menangkap beberapa orang, seorang pun belum dihukum.

Pihak berkuasa kita, termasuk Jakim dan Kementerian Dalam Negeri, lebih gemar memberi amaran, amaran, dan amaran. Orang tidak peduli lagi dengan siri-siri amaran yang tidak berkesudahan itu.

Cukup-cukuplah kita beri amaran, sudah tiba masa kita menunjukkan kuasa yang ada, dan bertindak. Atau, apakah kita hanya akan bertindak tegas sekiranya orang meletakkan patung di mimbar masjid?

*DI MESIR, Islam sama Islam bertempur. Rabu lalu rejim tentera telah melancarkan serangan besar-besaran terhadap beribu penunjuk perasaan penyokong bekas Presiden Muhamed Mursi. Sekurang-kurangnya 500 terkorban, beribu lagi cedera.

Mursi, pemimpin Ikhwan Muslim, adalah presiden pertama yang dipilih secara demokrasi dalam sejarah negara Islam tersebut. Tetapi, seperti biasa ada sahaja kaki busuk dan pengacau asing yang tidak suka pemimpin berjiwa Islam. Belum setahun Mursi memerintah, sudah terjadi rampasan kuasa.

Banyak negara mengutuk tindakan ganas rejim, tetapi kekejaman nampaknya tidak akan berhenti. Penyokong Mursi, khasnya Ikhwan Muslim, bersemangat tinggi dan menegaskan tidak akan tunduk kepada rejim.

“Kami akan terus duduk dan melakukan demonstrasi di seluruh negara sehingga demokrasi dan kedaulatan yang sah dipulihkan di Mesir,” kata Essam Elerian, seorang anggota kanan kumpulan Islam itu, seperti yang dipetik media antarabangsa.

Apa yang berlaku di Mesir patut sekali dijadikan iktibar oleh kita. Ingatlah kalau kita pun tidak bersatu apa yang terjadi di sana mungkin terjadi di tempat kita.

*AKHIR kalam, satu taktik bersopan penjenayah. Seorang lelaki menunjukkan tertib dengan bertanyakan khabar kepada seorang wanita di hadapan rumahnya di Sijangkang, Klang. Kemudian dengan sekelip mata lelaki tersebut meragut rantai emas di leher wanita berkenaan.

Di Klang juga seorang pemandu lori berusia 26 tahun mati ditembak penjenayah, Rabu lalu. Ini satu lagi kes tembak maut dalam masa seminggu dua ini. Siapa kata indeks jenayah kita menurun?

TOK PERAK
0 Komentar untuk "Amaran, amaran, amaran. Eekeleh!"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI