TPP: Hak sama, keupayaan berbeza, tegas Tun Mahathir - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

TPP: Hak sama, keupayaan berbeza, tegas Tun Mahathir

http://www.sinarharian.com.my/wawancara/tpp-hak-sama-keupayaan-berbeza-tegas-tun-m-1.185382

PENENTANGAN banyak pihak terhadap perjanjian perdagangan bebas Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirunding oleh Malaysia dengan 11negara lain turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri TUN DR MAHATHIR MOHAMAD.
Beliau, yang meneliti isu itu, mengambil pendirian sama dengan kebanyakan badan bukan kerajaan: kaji dengan lebih mendalam dan telus atau tarik diri daripada rundingan TPP.
Apakah sebenarnya yang membimbangkan seorang pemimpin yang pernah menerajui negara selama 22 tahun? Ikuti temu bual eksklusif beliau bersama Ketua Meja Bisnes Sinar Harian, Farah Zamira Farush Khan dan Jurufoto Safwan Mansor untuk memahami pandangan beliau berhubung TPP.

Hak sama, keupayaan berbeza

Apa sebab utama Tun tidak menyokong perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS)?
AS ini terlalu besar. Mereka ada kuasa penekanan yang lebih termasuk dalam bidang perundingan dan apabila berlaku perbalahan, apabila dirujuk kepada mahkamah, kita akan hadapi banyak masalah untuk dapatkan kemenangan bagi pihak kita.

AS punya eksport dan barangan lebih banyak daripada kita. Sebaliknya kita di Malaysia ini, ekonomi kita dalam proses pertumbuhan dan juga kita telah cuba guna ekonomi untuk perbetulkan keadaan sosial dalam negara. Umpamanya, kita mempunyai Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Walaupun banyak kita sudah hentikan tetapi kita masih perlu cuba imbangkan kedudukan ekonomi antara kaum. Ini sudah tentu bercanggah dengan cara-cara perdagangan bebas di mana kita tidak boleh diskriminasi terhadap rakan dagang.
Lagipun kita dapati segala dasar-dasar ekonomi dalam negara kita ini akan dikaji oleh AS dan mereka nak kita sesuaikan ekonomi Malaysia bukan dengan keadaan dalam negara kita tetapi dengan keadaan dagangan mereka.

Mengapa Malaysia gagal menandatangani FTA dua hala dengan AS pada 2007?

Sebahagiannya kerana kita ada masalah dalaman yang memerlukan kerajaan untuk mendiskriminasikan agihan kontrak terutama kontrak perolehan kerajaan. Sebaliknya, AS pula memberi lindungan kepada keluaran pertanian mereka, mereka beri subsidi yang amat besar kepada keluaran pertanian mereka.

Mereka juga ada cara-cara untuk lindungi barangan mereka, bukan dengan cara cukai tapi dengan mengadakan standard tertentu dan sebagainya yang sukar kita nak penuhi.
Sebaliknya kita di sini kerap terima apa saja barangan dari luar tanpa mengambil kira standard dan kalau ada standard pun, kita dipaksa memberi pengecualian daripada standard. Jadi tidak ada persamaan antara hak mereka dengan hak kita.

Kenapa Malaysia tidak mahu kompromi dalam rundingan Malaysia-AS FTA dahulu dan kini dikatakan diterima dalam TPP?
Bagi AS, tiada apa yang berubah pun. Mereka gagal melalui FTA untuk tembusi kita punya pasaran jadi mereka cipta satu lagi cara baru. Sudah ada empat, lima cara untuk mereka tembusi pasaran Malaysia.
Dalam GATT (Perjanjian Am mengenai Tarif dan Perdagangan) mereka cuba tapi gagal. Lepas itu mereka perkenalkan globalisasi, dunia tanpa sempadan, lepas tu WTO (Pertubuhan Perdagangan Dunia) dan Apec (Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik). Apec juga tujuannya sama, untuk tembusi pasaran negara-negara kecil.
Dan kalau kita benarkan dengan mudah mereka masuk, ini akan jejaskan ekonomi negara kita terutama mengenai modal. Masalah yang kita hadapi semasa krisis mata wang (di Asia pada 1997 dan 1998) ialah kerana mereka dapat masuk dan beli mata wang kita, jual mata wang kita tanpa diketahui.
Tiba-tiba wang kita merosot nilainya kerana pedagang mata wang gunakan cara tak begitu lurus iaitu mereka boleh mencipta wang, menjual wang yang dicipta oleh mereka dan membeli wang yang dicipta oleh mereka dengan kesan terhadap mata wang kita.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menegaskan 11 negara terlibat dalam TPP mempunyai hak sama dalam rundingan. Komen Tun?
Ya lah, hak yang sama. Kalau berlaku sesuatu tuntutan, kita ada hak yang sama untuk pertahankan dalam mahkamah antarabangsa tetapi saya tak begitu yakin kita boleh pertahankan diri dalam mahkamah antarabangsa dan kosnya cukup tinggi. Jadi walaupun mereka kata hak yang sama, tapi melalui TPP ini, kita kena patuh kepada syarat-syarat atau pun perjanjian ini.

Kalau TPP kata tak boleh ada diskriminasi antara pembida dalam satu-satu tender, kalau kita pilih untuk memberi kepada rakyat kita, syarikat mereka boleh bawa kes ini kepada mahkamah dan pada masa itu, kita terpaksa pertahankan diri dengan kos yang cukup tinggi dan ada kemungkinan kita akan kalah.
Walaupun sama, dia pun boleh buat kepada kita, kita pun boleh buat kepada dia tetapi kemampuan kita untuk mengheret kerajaan mereka ke mahkamah kerana tidak mematuhi perjanjian adalah kurang daripada kemampuan mereka. Jadi walaupun kata hak yang sama, tapi sebenarnya tidak sama.

Bagaimanakah Malaysia memastikan perjanjian itu tidak menjejaskan pemain industri dalam negara?
Pertamanya, teks ini didrafkan oleh AS. Dah tentu mereka buat teks yang untungkan mereka.

Tak mungkin mereka buat draf yang merugikan mereka dan menguntungkan kita. Dan draf ini hasil rundingan dengan syarikat-syarikat yang berminat untuk masuki pasaran Malaysia, terutama untuk perolehan kerajaan. Mereka buat teks supaya mereka boleh masuk.

Ya, mereka mungkin beri kita peluang untuk masuk ke pasaran mereka tapi kemampuan kita untuk masuk pasaran sana jauh lebih rendah daripada mereka.

Dan kalau berlaku sesuatu untuk kita bawa kes ke mahkamah, itu adalah satu proses yang cukup rumit, mahal dan kemungkinan kita takkan menang. Kita ada objektif kebangsaan sendiri. Jadi kita akan terikat dengan perjanjian ini sehingga terpaksa ketepikan objektif kebangsaan.

Salah satu hujah adalah kita negara yang bergantung kepada eksport, jadi nak tak nak kita kena buka pasaran.
TPP adalah salah satu daripadanya. Selama ini kita dah eksport dan eksport kita memang meningkat setiap tahun kerana apa yang kita keluarkan adalah apa yang diminati oleh orang. Jadi kita tiada masalah tingkatkan ekonomi dalam keadaan sekarang ini.

Tapi mereka (syarikat luar) tak masuk dalam pasaran kita sebab kita ada dasar tertentu, khususnya Dasar Ekonomi Baru, dasar Bumiputera yang mana kalau kita tak betulkan agihan kekayaan dalam negara antara kaum, besar kemungkinan negara kita akan menghadapi huru-hara.

Jika TPP ini banyak sangat kesan buruk, kenapa agaknya kerajaan nampak berminat?
TPP ini satu dokumen yang cukup panjang dikemukakan kepada pemimpin. Mereka bersetuju untuk menyertai, tapi belum bersetuju berkenaan dengan isi kandungan. Isi kandungan itu begitu kompleks sehingga nak faham pun susah. Ini biasalah, macam kita masuk insurans, cetakan kecil ini jadi masalah.
Kerajaan mungkin dengan niat baik dan kepercayaan kepada keikhlasan semua pihak bersetuju untuk terima tanpa betul-betul meneliti isi kandungan ini. Biasanya pemimpin negara tidak meneliti sesuatu perjanjian terlebih dahulu.
Kadang-kadang perjanjian ini panjang. Saya (dulu) nak baca pun tak larat. Pemimpin bersetuju untuk menyertai tapi kemudian baru kita tahu isi kandungan jadi kadang-kadang kalau kita kata kita akan terima walau apa pun, maka pegawai (kerajaan) pun akan usaha supaya kita terima. Tapi kita kena berhati-hati.
Adakah kita mempunyai pakar ekonomi yang boleh meneliti perjanjian ini untuk capai keputusan?

Ya, kita ada pakar ekonomi. Tetapi kita juga bersaing dengan pakar ekonomi yang lain. Mereka ada cara-cara mereka.

Seperti yang saya sebut dalam blog saya, kita selalu dalam rundingan ini kita kalah.
Saya khuatir kerana kita tak begitu meniliti kesan-kesannya. Bahkan dasar-dasar dalam negara pun kadang-kadang kita kemukakan lepas itu terpaksa tarik balik sebab merugikan.

Sebab itu saya begitu khuatir kalaulah dibenarkan cuma pegawai tertentu sahaja yang meneliti dan membuat persetujuan, besar kemungkinan kesalahan berlaku. Dalam Dasar Automotif Kebangsaan, apabila diperkenalkan dahulu kita dapati ia merugikan industri automotif dalam negara kita. Ini sebab tiada rundingan. Banyak pemain dalam industri automotif ini.

Ada pengeksport, pengimport, pengeluar, vendor, penjual kereta terpakai, pembiaya. Kalau kita buat sesuatu keputusan tanpa diketahui oleh mereka, akhirnya mungkin mereka akan mengalami kerugian dan kita juga akan mengalami kerugian.
Sebab itu saya nak dikaji betul-betul. Ada tempat-tempat yang kita boleh terima, okay lah, kita terimalah. Tapi yang akan membawa masalah kepada kita, kita tidak harus terima.

Adakah Bumiputera dan Melayu terlalu dilindungi selama ini sampai tak boleh bersaing apabila buka pasaran?
Kita belum matang lagi. Nak memalukan Bumiputera kerana mereka masih perlu perlindungan, itu bukan cara baik.
Kita tahu kalau kita bagi RM1 juta kepada seorang penarik beca, apakah dia akan dapat menguruskan RM1 juta ini dengan baik berbanding kalau kita bagi RM1 juta ini kepada orang yang pakar dalam bidang pelaburan?

Kita tidak harus rasa malu.

Ada Bumiputera yang berjaya. Sila buat audit kalau kita kata kita kena buka perolehan kerajaan kepada sesiapa sahaja tanpa ambil kira Bumiputera ataupun tidak.

Sektor swasta (selama ini) ada buka? (Syarikat) yang buat bangunan, yang meniaga, mereka ada buka bagi Bumiputera? Mereka tak pernah nak bagi kontrak satu pun.

Jadi kalau kerajaan punya pun kita tak bagi kepada Bumiputera, (swasta) tak bagi langsung kepada Bumiputera,

Bumiputera nak dapat apa? Kita ada kebolehan, tetapi masyarakat dunia ini ada yang kaya ada yang miskin. Jadi kita nak suruh orang miskin bersaing dengan orang yang kaya, cekap, pintar?
Kebimbangan Tun adalah jika ada perkara yang kita dah tetapkan selama ini, seperti DEB akan terubah dengan TPP. Tapi Miti berkata, kita masih ada hak,  dan atas alasan itu Miti bertegas teruskan TPP ini.

(Ketawa) Ya lah kita kata kita ada hak. Dulu tak pernah orang memburukkan agama Islam, sekarang dia boleh memburukkan dan kita kurang undang-undang untuk pertahankan, teragak-agak sama ada nak ambil tindakan.
Kalau dulu, kalau buat sesuatu yang akan menyebabkan rusuhan antara kaum, kita boleh masuk dalam tahanan tanpa bicara pasal dia cuba nak hasut.

Kita kata ada undang-undang tapi kadang-kadang kita tak gunakan undang-undang.

Tun sebelum ini ada berkata, Miti tetap akan tandatangani TPP tanpa pedulikan tentangan orang ramai. Kalau ini benar-benar berlaku, apa kesan kepada survival BN sebagai parti pemerintah?
(Ketawa) Sebenarnya saya kata itu sebelum (Menteri Miti) Datuk Seri Mustapa (Mohamed) jumpa saya dan bagi jaminan yang dia takkan tandatangan sebelum buat rundingan. Tapi minat untuk tandatangan memang ada. Tapi saya tak tahulah. Bagi saya, kita tak perlu TPP.

Ini satu lagi agenda AS nak tembusi pasaran-pasaran sebab mereka menghadapi masalah dalam pasaran di sana. Kebolehan AS dalam pembuatan sudah merosot banyak kerana selama hampir 10 tahun, AS kalah kepada Jepun dan Korea dan beralih kepada pasaran kewangan. Pasaran kewangan bukan untuk mengeluarkan barangan.

Mereka cuma bertaruh. Ini macam judi. Sekarang itu pun dah jatuh, tapi AS nak kembali kepada pembuatan susah sebab mereka dah hilang kebolehan untuk bersaing dengan orang. Bagi AS, kita nak jual kereta di sana, AS ubah standard tiap-tiap tahun, sama macam di Eropah.

Kita nak kejar pun susah. Tapi AS jika nak masuk sini, bila-bila masa boleh. Dalam industri automotif ini kita ada standard, tapi kita rela bagi pengecualian daripada standard. Sehingga kereta yang kita import di bawah standard. Proton patuh kepada arahan dan ada standard tapi kita tak dapatlah bersaing dengan mereka, kos mereka rendah.
Suvival BN?
Memang akan beri kesan kepada BN tapi kita nak tengok la juga, yang parti lawan ni pun, dia pun seronok nak dapat sokongan daripada orang itu (AS).
Kalau kita tarik diri daripada TPP, adakah negara luar akan boikot kita?

Boleh (tarik diri). Saya ingat banyak negara tak senang hati dengan TPP, termasuk New Zealand. Kalau nak ada satu perjanjian, semua negara berjumpa dan cipta. Lepas tu kita kaji. Ini tidak, TPP datang dari AS.

Maksudnya konsensus daripada semua pihak terlibat, bukan hanya satu sumber?

Ya. Dalam GATT dulu kita berunding bertahun-tahun tak dapat apa pun. Mereka lindungi pasaran mereka dengan pelbagai cara bukan sahaja cukai, bukan duti import atau apa, mereka buat standard. “Oh kamu tak penuhi standard tak boleh masuk” atau “Oh kereta ini tidak baik, kena tarik balik”. Toyota kena tarik balik satu juta kereta kononnya tak bagus.
Hanya kerana satu orang kemalangan, yang lain semua kena tarik balik dan kita tak boleh nak lawan dengan AS. Mereka akan cakap standard dikompromi. Jadi AS ada kuasa, kita tiada kuasa. Kita nak jatuh hukum ke atas barang AS pun cukup susah.
Mereka nanti bawa peguam semua, kita pun menyerah diri lah. Saya tahu sangat dengan hal macam ini, saya lama juga jadi Perdana Menteri (PM). Jadi saya ada pengalaman sikit.

Ada orang berkata kalau kita tidak tandatangani TPP, kita akan merisikokan Wawasan 2020, iaitu Tun punya visi.

Dulu kita tak ada TPP tak ada pula risiko? Jadi bermakna TPP ini ancaman kepada kita. Dulu kita dah menuju ke arah Wawasan 2020. PM (Datuk Seri Najib Tun Razak) dah kata 2018 pun kita boleh capai (status negara maju). Itu sebelum ada TPP, bukan termasuk TPP baru boleh capai.
Saya tahu lah kalau ada orang sengaja nak sekat, nak timbulkan masalah memang tak bolehlah (capai Wawasan 2020). Umpamanya kalau ada rusuhan macam yang terjadi di Mesir, ekonomi akan terjejas.
Golongan penyokong TPP menggunakan hujah TPP ini untuk majukan ekonomi. Kalau tanpa TPP, apa alternatif lain yang kita ada?

Ekonomi kita tumbuh dengan baik sebabnya kita tak terlibat dengan pasaran kewangan. Masa saya dalam kerajaan lagi, apabila berlaku kebankrapan di Orange County di AS kerana terlibat dengan 'hedge fund' (dana lindung nilai), kita larang dana itu di sini. Kalau kita tak ada hak nak tahan... umpamanya bila (negara luar) serang mata wang kita, kita ada kawalan mata wang.

Ini tak boleh (dalam TPP), mereka anggap sebagai halangan perdagangan. Jadi mereka nak masuk, nak jatuhkan mata wang kita. Kita kena betul-betul fahami hal ini, bukan mudah.

Ada yang dakwa TPP tidak untungkan kita. Tapi pengalaman Malaysia dengan perjanjian antarabangsa sebelum ini, banyakkah yang merugikan kita?

Banyak, walaupun semasa pentadbiran saya.
Umpamanya kita masuk Afta (Kawasan Perdagangan Bebas Asean). Dengan Afta, kita terima kereta yang mempunyai 40 peratus kandungan tempatan, dikira bertaraf nasional. Sebagai kereta nasional, pengeluar boleh masuk ke mana-mana negara Asean tanpa cukai. Tetapi di Malaysia, kita buat kereta 90 peratus kandungan tempatan. Jadi kos lebih tinggi.
Sebab itu, negara yang tidak ada pembuatan kereta, mereka boleh ambil kereta dari negara lain, Jepun atau Korea, mereka tambah 40 peratus sahaja dan dikira kereta nasional jadi boleh masuk Malaysia. Kalau tak percaya, pergi tengok kereta yang datang dari luar negara, dari Thailand, lebih banyak di sini berbanding dengan Proton masuk negara mereka. Kalau kita pergi negara asing kita tak nampak pun Proton. Sebab tu saya kata tak untung.
0 Komentar untuk "TPP: Hak sama, keupayaan berbeza, tegas Tun Mahathir"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI