RAMAI 
orang yang mahu harga kereta import diturunkan akan fokus kepada cukai eksais dikenakan kerajaan, iaitu antara 75 hingga 105 peratus daripada harga kereta.

Namun bagi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia M. Madani Sahari, pengurangan harga kereta lebih bergantung kepada harga kilang ditetapkan pengeluar.

“Kerajaan boleh kurangkan duti eksais tapi akhirnya pengeluar sendiri perlu lebih berdaya saing dengan kurangkan kos dan harga dari kilang bagi kenderaan mereka,” katanya.

Menurut Madani, kebanyakan pengeluar kereta yang beroperasi di Malaysia telah pun menikmati duti eksais lebih rendah bagi unit pemasangan tempatan (CKD) dengan purata duti eksais setara Thailand dan Indonesia, iaitu 40 peratus.

“Duti eksais dikurangkan untuk CKD kerana aktiviti nilai tambah yang dijalankan di Malaysia,” jelasnya.

Menurut beliau, hampir 85 peratus kereta dijual di Malaysia tahun lalu adalah kenderaan CKD.

Beliau menambah, cukai jualan 10 peratus dikenakan ke atas kenderaan pula adalah nilai standard yang digunakan di semua negara Asean lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata, syarikat kereta luar yang membuat pemasangan di Malaysia telah pun membayar cukai eksais lebih rendah sejak bertahun-tahun lalu
.